KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya Sabah akan memastikan semua jalan raya di negeri itu dapat diperbaiki dan memberikan bekalan air bersih kepada rakyat.
Timbalan Ketua Menteri l merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kementeriannya akan memfokuskan bagi menyusun semula program dan belanjawan untuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Kita sedia maklum jalan raya dan air antara masalah sering membelenggu rakyat di negeri ini.
“Oleh itu, misi utama saya dan kementerian adalah memastikan semua jalan raya di Sabah dapat diperbaiki dan memberikan bekalan air bersih kepada rakyat di seluruh negeri.
“Masalah ini sudah berlarutan bertahun-tahun, malah sepanjang kempen pilihan raya masalah air dan jalan raya antara isu sering diketengahkan.
“Salah satu aku janji Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah memberikan air bersih kepada rakyat, selain menaik taraf jalan raya sedia ada. Kita akan pastikan setiap daerah atau kampung yang menghadapi masalah air bakal mendapat kemudahan terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mendengar taklimat berkaitan kementerian di Kementerian Infrastruktur Jabatan Kerja Raya di sini, hari ini.
Bung Moktar berkata, rakyat layak menerima kemudahan sepatutnya menjadi hak mereka termasuk air dan jalan raya.
“Tugas saya dan rakan-rakan di semua agensi adalah memastikan rakyat mendapat hak untuk keperluan masing-masing.
“Perkara lain kita akan fikirkan mengikut keutamaan kerana ketika ini adalah memperbaiki jalan, memberi jalan dan menyalurkan air bersih.- BH Online
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost