Angkat Sumpah Ketua Menteri Sabah Dijadual Esok

Setakat ini, belum diketahui siapa bakal dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu. – Gambar fail

KOTA KINABALU: Majlis Istiadat Angkat Sumpah Ketua Menteri Sabah yang baharu akan berlangsung esok di Istana Negeri Sabah, di sini.

Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan Negeri Sabah yang memetik sumber Istana Negeri memaklumkan, istiadat tersebut akan diadakan pada pukul 10.30 pagi.

Bagaimanapun, setakat ini Ketua Menteri Sabah yang baharu masih belum diketahui.

Pada Sabtu, beberapa pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan rombongan termasuk Datuk Seri Bung Moktar Radin; Datuk Seri Hajiji Noor; Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Jahid Jahim tiba di Istana Negeri untuk menghadap Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Sebelum ini, Bung dan Hajiji, antara nama yang disebut-sebut bakal menjawat jawatan Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Namun semalam, Bung memaklumkan Juhar memohon untuk diberikan tempoh sebelum sebarang keputusan dibuat.

PRN kali ini menyaksikan GRS memenangi 38 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Sementara itu, Warisan Plus yang terdiri daripada Warisan (29 kerusi), PKR (2 kerusi) dan UPKO (1 kerusi) berjaya menawan 32 kerusi. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

6457