RASMI! GRS Menang Majoriti Mudah PRN Sabah

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin ketika menyaksikan keputusan awal semasa Pilihan Raya Negeri Sabah. 

KOTA KINABALU: Pilihanraya Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, setakat pukul 11.30 malam dengan 65 kerusi yang dikira, GRS yang merupakan sekutu Perikatan Nasional telah memenangi 17 kerusi, Barisan Nasional (14), Parti Bersatu Sabah (enam), dengan jumlah keseluruhan 37 kerusi.

Sebanyak 73 kerusi yang dipertandingkan, dengan 37 kerusi diperlukan untuk majoriti mudah.

Warisan Plus pula memenangi 26 kerusi, dengan masing-masing satu dimenangi oleh PKR dan Upko, manakala calon Bebas memenangi dua kerusi.

PRN Sabah ke-16 menyaksikan sejumlah 447 calon daripada 15 parti politik termasuk 56 calon Bebas bertanding bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam persaingan banyak penjuru dengan purata enam calon bagi setiap kawasan.

Sejumlah 14,935 pemilih berdaftar mengundi secara pos manakala 16,877 pengundi awal pula sudah melaksanakan tanggungjawab masing-masing pada 22 September lepas dengan 76 peratus keluar mengundi.

PRN Sabah diadakan selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membubarkan DUN pada 30 Julai sehari selepas bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mendakwa telah memperoleh cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2522