‘Kerajaan Muhyiddin Jatuh’, Anwar Umum Dapat Sokongan ‘Kukuh’, ‘Meyakinkan’

Anwar Ibrahim mengumumkan beliau membentuk suatu pakatan baharu dengan rakan-rakan baharu.

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Anwar Ibrahim, hari ini mengumumkan mendapat “sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan” daripada ahli Parlimen untuk dipersembahkan kepada Agong.

“Pada saat ini kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin telah jatuh,” katanya pada sidang akhbar di ibu negara hari ini, dan menambah beliau akan menghadap Agong dalam masa terdekat.

Menjawab pertanyaan pemberita, Anwar berkata beliau boleh membuktikan sokongan itu, “secara konklusif”, yang menurutnya bukan kelebihan “1, 5, atau 6” tetapi hampir 2/3.

“Mereka ahli Parlimen dari pelbagai parti,” tambahnya. “Sudah tentu ada ahli Parlimen daripada pihak pemerintah.”

“Majoriti menyokong juga dalam kalangan ahli Parlimen Melayu dan Islam.”

Anwar juga mengumumkan beliau membentuk suatu pakatan baharu dengan rakan-rakan baharu.

“Sudah tentu ini pakatan baharu…saya perlu bincang dengan rakan baharu, termasuk rakan baharu yang kuat itu,” katanya.

Ditanya pemberita adakah parti Dr Mahathir Mohamad, Pejuang, dalam sokongan yang dikatakan ini, Anwar jawab: “Belum”.

Katanya, butiran untuk media hanya akan dimaklumkan selepas ia dipersembahkan kepada Agong.

Daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat, terdiri daripada 43 ahli Parlimen BN, PPBM (31), PAS (18), GPS (18), dan STAR (1).

Di samping itu, PH mempunyai 91 wakil rakyat, Warisan (9), PBS (2), dan PSB (1).

Sembilan ahli Parlimen membentuk kumpulan penyokong Mahathir, dan seorang wakil rakyat Bebas. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2901