Pengaduhan Di Pulau Nunuyan Akibat Ejek-Mengejek

Keadaan mangsa akibat pergaduhan tersebut.

SANDAKAN: Polis menafikan kejadian seorang lelaki yang cedera dipercayai dipukul di Pulau Nunuyan, di sini, ada kaitan dengan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

Sebaliknya, Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata pergaduhan itu yang berlaku pada Jumaat lalu berpunca daripada mengejek.

AZHAR HAMIN

Katanya, mangsa berusia 62 tahun dipercayai dipukul oleh suspek menggunakan objek keras kerana suspek tidak berpuas hati dengan mangsa.

“Siasatan mendapati suspek tidak berpuas hati dengan mangsa kerana merasakan mangsa sering mengejeknya setiap kali berjumpa.

“Kejadian ini tiada kaitan dengan dakwaan yang tular kononnya akibat memasang bendera,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, sekeping gambar menunjukkan seorang lelaki cedera tular di media sosial dengan beberapa rakaman suara yang mendakwa kejadian itu akibat memasang bendera parti untuk kempen pada PRN.

Mohd Azhar berkata, polis juga sudah menahan suspek pada Sabtu selepas laporan polis dibuat di Balai Polis Sandakan.

Katanya, suspek berusia 26 tahun itu kini ditahan reman sehingga 26 September ini untuk siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2149