Mereka Takut Kalah Sebab Itulah Mainkan Isu PATI

SANDAKAN: Tindakan pihak lawan yang cuba memanipulasi isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini adalah kerana bimbang menghadapi kekalahan dalam Pillihan Raya Negeri (PRN).

Terbaharu, sebuah papan iklan didirikan di Bandar Kim Fung tanpa mengandungi maklumat penerbit dan pencetak yang dipercayai dilakukan pihak lawan.

Isi kandungan iklan itu menggunakan tulisan Cina berbunyi ‘satu undi bagi kapal layar = pelarian haram akan jadi orang Sabah’.

Dalam kenyataan bersama calon DAP kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Papat dan Elopura, Datuk Frankie Poon dan Calvin Chong berkata, aduan segera dibuat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menurunkan iklan itu.

Menurut mereka, wakil mereka turut terserempak dengan dua pekerja yang mendirikan papan tanda itu dan apabila ditanya, mereka melarikan diri.

“Tangga mereka pun ditinggalkan begitu saja. Ini amat mencurigakan.

“Kami amat berasa kesal dengan tindakan ini yang melontarkan tuduhan tidak berasa dan papan iklan juga tidak mengikut syarat diwajibkan SPR,” menurut mereka.

Menurut mereka lagi, isu yang ditayangkan dalam papan iklan itu hanya membuktikan pihak lawan tiada isu lain untuk menyerang Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Beliau (Mohd Shafie) banyak kali menjelaskan bahawa beliau lahir dan membesar di Semporna, malah nenek moyang beliau juga dikebumikan di Semporna.

“Justeru, kami berharap rakyat Sabah tetap tegas menolak politik perkauman seperti dipermainkan pihak lawan.

“Sabah tidak perlu sehaluan dengan pihak yang berbaur perkauman. Kita Sabahan tolak taktik kotor. Bah, undi Warisan,” menurut kenyataan mereka. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2155