Bumi Sabah Milik Sabahan, Bukan Milik Pemimpin Persekutuan

TENOM: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengingatkan pemimpin Persekutuan bahawa hasil bumi Sabah bukan lagi untuk dijual beli, bukan untuk mereka terus mencari kekayaan.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu menegaskan, rakyat Sabah akan berpadu dan bangkit menentang segala tindak tanduk pemimpin-pemimpin Persekutuan yang cuba untuk merampas sekali lagi kekayaan negeri ini.

Katanya, hasil bumi Sabah adalah milik orang Sabah, bukannya diuruskan oleh Persekutuan seolah-olah kekayaan yang ada itu adalah milik mereka sedangkan di Sabah rakyatnya masih yang termiskin.

“Kita mesti pertahankan ini bumi kita, kita punya minyak, kita punya tanah tetapi mereka yang punya cukai, orang kita tanam sawit dari Pensiangan sampai Tenom kita berhujan panas tetapi Kuala Lumpur cuma duduk kenakan cukai.

“Kita kena pertahankan hak kita di bumi Sabah, jangan tidur jangan lena bila dapat duit RM500 pasang bendera biru, Sabah is not for sale kita perlu pertahankan hak kita, perjuangkan hak kita,” tegas Mohd. Shafie.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Bersama Rakyat di Pekan Tenom petang ini.

Mohd. Shafie berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah terpaksa dijalankan kerana Persekutuan cuba merampas kuasa pentadbiran daripada orang Sabah melalui pintu belakang.

Katanya, pemimpin-pemimpin Sabah yang berpaksikan ketua mereka di Semenanjung adalah pengkhianat yang rela menyerahkan hak Sabah kepada Persekutuan.

“Kepada rakyat Sabah jangan lepaskan hak anda, jangan lepaskan kuasa yang ada pada orang Sabah, undi calon Warisan Plus untuk kemenangan kepada kita semua,” katanya.

Tegas beliau, selama ini Kerajaan Persekutuan hanya menganggap Sabah sebagai negeri biasa walaupun Sabah adalah salah satu wilayah yang membentuk Malaysia.

“Kalau mahu mentadbir negara, sentuh hati semua rakyat Malaysia dari Perlis sampai ke Sabah, bukan ambil hak Sabah dan buat seperti kamu punya sendiri.

“Malaysia adalah Tanah Melayu, Wilayah Sabah, Wilayah Sarawak tetapi sepanjang masa ini Sabah hanya dianggap sebuah negeri, Sabah tidak sama dengan Perlis, Kedah dan Pahang kerana Sabah ada hak istimewa,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

4097