Lelaki Ditemui Lemas, Terbabit Kemalangan

Mangsa ditemui lemas selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Pantai Pimping, Membakut.

BEAUFORT: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan di Jalan Pantai Pimping, Membakut, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam, mangsa Abd Rashid Latif, 43, ditemui lemas di dalam parit akibat kemalangan terbabit.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Azmir Abd Razak berkata, kemalangan membabitkan dua motosikal yang ditunggang mangsa dan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.

“Kemalangan berlaku apabila kedua-dua motosikal dalam perjalanan dari arah yang sama iaitu dari Kuala Penyu menuju ke Membakut.

“Siasatan awal mendapati, mangsa yang datang dari arah belakang tidak perasan motosikal yang ditunggang remaja berada dihadapannya dan disyaki tidak mempunyai lampu belakang.

“Motosikal remaja itu tergesel sehingga terjatuh dan terseret beberapa meter ke hadapan manakala motosikal mangsa terbabas ke bahu jalan di sebelah kiri dan mangsa terjatuh ke dalam parit di sebelah kiri jalan, ” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya lagi, akibat kejadian itu, mangsa meninggal dunia disyaki akibat lemas di parit berkenaan manakala remaja terbabit bertindak menghilangkan diri meninggalkan lokasi.

“Hasil siasatan mendapati punca kemalangan adalah disebabkan mangsa yang dipercayai menunggang laju dan tidak memberi perhatian yang sewajarnya terhadap kenderaan lain yang berada di hadapanya.

“Bagaimanapun, tindakan terhadap remaja iti juga akan diambil kerana tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, lampu belakang tidak bernyala dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *