Lapan SJR Di Tawau

Pihak polis membuat pemeriksaan rapi terhadap pengguna jalan raya yang melalui sekatan jalan raya di jalan Apas Tawau. – Foto BH Online

TAWAU: Polis melakukan sekatan jalan raya (SJR) di lapan lokasi sekitar daerah ini, berkuat kuasa hari ini.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, ia antara inisiatif pihak berkuasa dalam usaha membendung penularan Covid-19 yang semakin menunjukkan peningkatan setiap hari.

“Walaupun pada awalnya kes hanya membabitkan tahanan dalam penjara, namun, terdapat kes  sporadic dilaporkan berlaku di sini.

“Situasi ini ternyata menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk di Tawau,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Antara lokasi SJR adalah di Kilometer 50 Jalan Tawau-Semporna, Batu 3 Jalan Apas, Batu 2 Jalan Apas, Jalan Kuhara, Jalan Tanjung Batu dan Jalan Chong Thien Vun.

Tambah Peter, pihaknya turut melaksanakan SJR di dua lokasi lain yang menghubungkan Kalabakan-Tawau iaitu di Jalan Merotai-Kalabakan dan Road Check Point (RCP) Kalabakan.

“Operasi ini membabitkan seramai 341 pegawai dan anggota pihak berkuasa terdiri daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Justeru, kerjasama orang ramai amat diperlukan dalam memastikan kelancaran SJR sekali gus berjaya memutuskan rantaian penyebaran Covid-19,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tetap dengan pendiriannya bahawa tiada keperluan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Tawau dan Lahad Datu walaupun daerah berkenaan mencatatkan bilangan kes Covid-19 yang tinggi.

Menurutnya, keputusan itu dibuat  selepas mengambil kira penularan kes Covid-19 membabitkan tahanan penjara dan lokap di situ.

“Jika kedua-dua daerah itu ditutup, ia tidak adil memandangkan bukan semua kampung mencatatkan kes positif Covid-19,” katanya.

Terdahulu, kenyataan Ismail melarang penutupan sekolah dan pasar di Tawau menimbulkan pertikaikan awam berikutan kebimbangan orang ramai terhadap perkembangan Covid-19 di sini.

Ismail turut menyelar tindakan pihak berkuasa tempatan dan Kerajaan Negeri kerana mendakwa keputusan PKP dan penutupan operasi tersebut adalah bidang kuasa Kerajaan Pusat.

Bagaimanapun, arahan Ismail itu diabaikan apabila orang mengambil inisiatif sendiri untuk tidak menghantar anak ke sekolah sejak minggu lalu atas faktor keselamatan dan langkah berjaga-jaga, dan jumlah ketidakhadiran pelajar ke sekolah semakin meningkat minggu ini. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

4860