2 Anggota Komuniti Bajau Laut Di Lahad Datu Positif Covid-19

LAHAD DATU: Polis mengesahkan 2 individu dalam kalangan komuniti Pala’u atau Bajau Laut di daerah ini positif Covid-19.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Nasri Mansor berkata, seorang daripada mereka disahkan positif beberapa hari lepas sementara seorang lagi dikesan positif hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati masyarakat agar menjarakkan diri daripada komuniti berkenaan, termasuk menghentikan pemberian sumbangan kepada mereka bagi mengelakkan penularan Covid-19.

“Pihak polis juga akan mengambil tindakan untuk mengekang mereka ini ke kawasan bandar bagi tujuan meminta sedekah,” katanya hari ini.

Lahad Datu mencatatkan 12 kes positif Covid-19 baru hari ini.

Komuniti Pala’u sering dilihat meminta sedekah di kawasan bandar dengan tumpuan di sekitar lampu isyarat, bank dan premis perniagaan.

Sementara itu, Nasri menafikan Lahad Datu kini dikenakan sekatan pergerakan seperti yang ditularkan menerusi media sosial.

Sebaliknya kata beliau, larangan cuma melibatkan aktiviti rekreasi di tempat awam.

Polis juga melaksanakan 4 sekatan jalan raya serta penutupan 3 laluan jalan bagi mengawal pergerakan orang ramai ke bandar, sekali gus mencegah penularan Covid-19, katanya.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1729