Sabah Akan Bawa Petronas Ke Mahkamah – Shafie

PUTATAN: Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal tidak akan teragak-agak untuk mengheret Petronas ke mahkamah jika Cukai Jualan Produk Petroleum tidak dibayar kepada Sabah.

Ketua Menteri Sabah ini berkata, jika Petronas boleh membayar cukai jualan tersebut kepada kerajaan Sarawak, mereka juga boleh membayar kepada Sabah secara sama rata.

“Jika mereka boleh bayar kepada kerajaan Sarawak, kita (Sabah) juga boleh dibayar secara sama rata sebab apa yang terkandung dalam hak Sarawak, juga sama seperti Sabah.

“Ini kerana minyak tidak datang dari negeri lain, ia datang dari Sabah jadi layanan yang sama seharusnya diberikan kepada kedua-dua negeri,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pembayaran cukai jualan produk petroleum kepada Sarawak semalam.

Semalam, kerajaan Sarawak menerima pembayaran penuh cukai jualan negeri (SST) sebanyak lima peratus daripada Petronas bagi produk petroleum bagi 2019 yang berjumlah RM2.96 bilion.

Mengenai kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa mustahil untuk Sabah dan Sarawak mendapatkan royalti 20 peratus, Mohd Shafie berkata, kalau Semenanjung Malaysia boleh dapat kenapa negeri pengeluar minyak seperti Sabah dan Sarawak tidak boleh dapat.

“Itu minyak kita. Macam mana orang Sabah cakap macam itu untuk orang Sabah,” jelasnya.

Bung dipetik berkata, mustahil untuk kerajaan persekutuan memberikan 20 peratus royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak.

Katanya, sukar untuk kerajaan persekutuan meluluskan pembayaran royalti 20 peratus itu kerana perjanjian dimeterai selepas negara ini capai kemerdekaan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *