KOTA KINABALU: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, manifesto “Aku Janji” yang dilancarkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini hanya mampu dilaksanakan jika kerajaan negeri baharu dibentuk nanti sehaluan dengan kerajaan persekutuan.
“Kenapa salinan ‘Aku Janji’ ini diserahkan kepada saya selaku perdana menteri dan bukan ketua menteri?
“Ini kerana antara yang tersenarai dalam ‘Aku Janji’ ada hubung kait dengan urusan kerajaan persekutuan manakala sebahagian lagi adalah urusan kerajaan negeri,” katanya ketika berucap sempena pelancaran manifesto itu hari ini.
Hadir sama Ketua PPBM Sabah Hajiji Noor, Pengerusi BN Sabah Bung Mokhtar Radin, Timbalan Presiden PBS Radin Malleh, Presiden SAPP Yong Teck Lee, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.
Muhyiddin berkata, antara yang terkandung dalam “Aku Janji” termasuk perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Saya tidak umumkan di sini, saya akan umumkan malam nanti sempena Hari Malaysia, hari ini,” katanya.
Muhyiddin berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang bukan seperti kerajaan Warisan Plus pimpinan Shafie Apdal yang hanya tahu berjanji tetapi tidak tunaikan.
“Bukan macam Warisan, bantuan untuk orang miskin ketika Covid-19 sampai hari ini tidak sampai, kerajaan persekutuan telah beri malah masih memberi hingga sekarang, ini bukan omong kosong, ini cakap betul.
“Rakyat Sabah masih memerlukan pembelaan, sokongan daripada semua peringkat penting, sama ada peringkat kerajaan negeri atau persekutuan dan sebab itu kita lancarkan ‘Aku Janji’.
“‘Aku Janji’ memberi saya komitmen yang menyeluruh dari parti yang ada dalam GRS untuk dilaksanakan supaya diangkat lagi darjat Sabah,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata “Aku Janji” berpaksikan hak Sabah, kepimpinan berintegriti, Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) dan perpaduan rakyat Sabah.
Paksi pertama iaitu hak Sabah menggariskan 3 perkara termasuk memelihara dan terus memperjuangkan hak Sabah berlandaskan MA63.
Dua perkara lain dalam paksi pertama ialah membentuk Jawatankuasa Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) mengenai Hak Sabah serta menubuhkan Majlis Petroleum Sabah dan Dana PetroSabah bagi memelihara kepentingan generasi akan datang.
Paksi ke-2 pula kepimpinan yang bersih, berintegriti, cekap, amanah dan mendahulukan rakyat Sabah serta membina keyakinan rakyat terhadap integriti penjawat awam Sabah.
Teras ke-3 memastikan WKB 2030 sebagai tunjang yang menggariskan Sabah diberikan perhatian dalam usaha mengecilkan jurang pembangunan antara wilayah serta menjana ekonomi tinggi dengan mengambil kira Revolusi Industri 4.0.
Paksi ke-4 perpaduan rakyat Sabah yang menggariskan 3 perkara termasuk memastikan kebebasan beragama, dasar perlembagaan negara dipertahankan dan memupuk semangat integrasi nasional dengan berpandukan Rukun Negara.- FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost