11 Daripada 15 Bekas Ahli Warisan Plus Pertahan Kerusi

Penyokong bekas ketua menteri Sabah Musa Aman (tengah), termasuk dari Warisan Plus sebelum pembubaran DUN pada Julai. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Sebelas daripada 15 Adun yang keluar dari Warisan Plus pada Julai akan mempertahankan kerusi mereka pada 26 September ini.

Lima belas orang itu keluar parti untuk menyokong bekas ketua menteri Musa Aman dalam usaha yang tidak berjaya membentuk kerajaan baru sebelum ketua menteri, Shafie Apdal membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus membuka jalan kepada pilihan raya negeri (PRN).

Enam daripada mereka bertanding sebagai calon Bebas, 3 di bawah tiket Perikatan Nasional (PN) dan 2 lagi sebagai calon Barisan Nasional (BN).

Empat yang lain, bagaimanapun, tidak bertanding.

Penganalisis politik Tony Paridi Bagang berkata, ialah adalah ujian berhubung kemampuan mereka untuk memperoleh kemenangan, terutama membabitkan pengundi yang mempersoalkan “pembelotan” mereka.

“Kali ini mereka berdepan persaingan yang sengit. Mereka berhutang penjelasan kepada rakyat atas tindakan mereka,” katanya kepada FMT.

“Bagaimana mereka menjelaskan langkah mereka untuk beralih sokongan boleh menjadi antara cara untuk meyakinkan orang ramai. Kad laporan prestasi mereka sebagai wakil rakyat juga membantu, selain faktor personaliti.”

Sementara itu, timbalan dekan di Universiti Malaysia Sarawak Arnold Puyok berkata, pengundi biasanya akan memilih calon Bebas yang mempunyai rekod bagus dan hubungan peribadi dengan pengundi.

Enam yang mempertahankan kerusi sebagai calon Bebas ialah Anita Baranting (Tandek), Kenny Chua (Inanam), Saddi Abdul Rahman (Sukau), Musbah Jamli (Tempasuk), Masiung Banah (Kuamut) dan Abdul Rahman Kongkawan (Labuk).

Dalam pada itu, Abdul Muis Picho (Sebatik), Abidin Madingkir (Paginatan) dan Limus Jury (Kuala Penyu), bertanding di bawah tiket PN, sementara James Ratib (Sugut) dan Jamawi Jaafar (Kemabon) di bawah BN.

Empat orang yang tidak bertanding ialah Hamisa Samat (Tanjung Batu), Osman Jamal (Balung) dan wakil calon Ronnie Loh dan Jaffari Walliam.

Pemimpin Upko juga akan menghadapi pilihan raya pertama selepas parti itu keluar dari BN untuk menyokong Warisan berikutan pilihan raya 2018.

Presiden Upko Wilfred Madius Tangau berusaha merebut kerusi Kiulu daripada ketua penerangan PBS Joniston Bangkuai, yang pernah menjadi sekutu rapat dalam BN, dalam pertembungan 6 penjuru.

Naib Presiden Upko Ewon Benedick mempertahankan kerusi Kadamaian daripada 5 pesaing yang lain.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3086