Saya Ditahan Tanpa Sebab, Saya Bukan Pengganas

SANDAKAN: Calon muka baru Parti Warisan Sabah (WARISAN), Alias Sani berikrar akan membuktikan beliau bukan pengganas seperti yang dihebahkan kerana pernah menjadi tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Alias yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong mengakui beliau pernah ditahan tanpa perbicaraan di bawah akta pencegahan, namun tidak pernah dibuktikan kesalahan jenayah.

Katanya, ia berlaku sekitar tahun 1990-an apabila beliau memberi sedekah dan belajar agama bersama orang tertentu dan kemudian sumbangan itu disalah tafsir untuk aktiviti tidak baik.

“Saya ditahan tanpa bicara, dia hanya ‘preventive act’ dan saya tidak menyokong keganasan.

“Apa pun namanya, apa pun bangsanya, saya orang Islam yang cintakan perdamaian. Saya akan buktikan saya bukan pengganas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan gelanggang bola tampar di Kampung Bokara, di sini.

Sebelum itu, Alias bersama calon WARISAN di kerusi DUN Karamunting, George Hiew bertemu penduduk di kawasan berkenaan.

Sejak semalam, sekeping gambar tular yang mendakwa Alias pernah ditahan ISA dan adalah ahli kumpulan Jemaah Islamiah (JI) yang dikehendaki.

Alias berkata, dia ditahan selama empat tahun bermula tahun 2003 di Pusat Tahanan Kamunting dan di sana, beliau lebih banyak mendalami agama.

Katanya, beliau juga tidak sempat berjumpa dengan ibubapanya yang meninggal dunia ketika dia berada dalam tahanan.

“Ramai tahanan ISA, Mat Sabu, Lim Kit Siang, Tun M (Tun Mahathir Mohamad), DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang akhirnya memberi sumbangan kepada negara melalui peranan dalam politik.

“Itu yang saya lakukan sekarang,” katanya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

7666