Nizam Calon Nombor Satu DUN Apas

TAWAU: Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tawau Datuk Nizam Abu Bakar Titingan paling awal menyerahkan borang pencalonan dan mendapat calon nombor satu dalam penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N.68 Apas.

Beliau memuji Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana berjaya menjalankan tugas dengan baik semasa proses penamaan calon sehingga ianya berjalan dengan lancar.

Nizam yang juga penyandang kerusi DUN Apas berkata, dia akan meneruskan tugasnya dengan baik sekiranya mendapat mandat daripada rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 26 September nanti.

“Sejak menjadi wakil rakyat di DUN Apas, rutin hariannya seperti menghadapi pilihan raya kerana selalu meneruskan kerja-kerja menyantuni rakyat di setiap kampung dan kawasan di DUN ini.

“Saya tidak hanya turun apabila musim-musim kempen sahaja sebaliknya tugas wakil rakyat digalas dengan amanah dan bertanggungjawab,” katanya semasa di temui media di Pusat Penamaan Calon, di sini semalam.

Mengulas mengenai saingan utamanya daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Amrullah Kamal dalam PRN kali ini, beliau berkata pihaknya tiada masalah kerana negara kita demokrasi sesiapa pun boleh bertanding.

“Sekiranya sesebuah parti atau calon itu merasakan layak untuk bertanding, boleh menawarkan diri untuk menjadi calon di DUN mana mereka suka,” katanya.

Nizam berharap pengundi di DUN Apas dapat menilai dengan baik kerana negeri Sabah harus dipimpin oleh pemerintah yang selaras dengan kerajaan Pusat.

“Saya yakin kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat menambat hati rakyat kerana selama ini beliau dilihat sangat komited dalam memberi perhatian kepada setiap permasalahan rakyat.

“Adalah satu kerugian bagi rakyat Sabah sekiranya mereka membuat pilihan yang salah dan berharap kita mesti bersama-sama dengan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri iaitu Parti Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Terdahulu selain Amrullah, Nizam juga dicabar oleh dua lagi calon iaitu Datu Indal Datu Ismail dari Parti Cinta Sabah (PCS) dan Muhd Sayardi Bakal (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu – USNO). – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1126