Tolong ‘Abah’, Seru Muhyiddin Kepada Rakyat Sabah

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin (tengah) meluangkan masa bersama penduduk di projek perumahan Tanjung Keramat di Putatan.

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin merayu kepada rakyat Sabah supaya membantunya meletakkan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan negeri selepas ini.

Membahasakan diri sebagai “abah”, Muhyiddin mengajak rakyat untuk beralih daripada kerajaan Warisan Plus kepada PN, untuk hubungan yang lebih utuh antara negeri dan persekutuan sekali gus lebih banyak bantuan disalurkan kepada Sabah.

Pemimpin PN itu berkata, kerajaan persekutuan sudah menyediakan banyak pembangunan terutama di kawasan luar bandar di Sabah namun masih banyak yang diperlukan.

Bercakap dalam lawatan ke projek perumahan penduduk Tanjung Keramat di Putatan hari ini, beliau berkata: “Saya tahu kerajaan negeri telah menyediakan ini tetapi bergantung kepada mereka sahaja tidak cukup.”

Katanya, beliau membuat ucapan sama dalam kunjungan ke Sandakan baru-baru ini namun “sebilangan orang dari pihak sana” marah padanya.

“Mereka berkata ‘tidak perlu berkata seperti itu kerana kami sudah menghabiskan banyak belanja’. Tetapi saya ingin bertanya, berapa banyak? Itulah sebabnya negeri memerlukan kerjasama dan sokongan erat kerajaan persekutuan. Lagi rapat lagi bagus lebih banyak peruntukan boleh kita sediakan.

“Itulah sebabnya kita mahu orang Sabah tolong saya…ini abah, walaupun tidak terlalu tua.

“Kita perlu pastikan dapat tukar kerajaan negeri dan menjadikannya kerajaan PN bersama rakan kita yang lain,” kata Muhyiddin.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3512