266 PATI Warga Indonesia Diusir Keluar Sabah

Sebahagian daripada PATI warga Indonesia yang diusir pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Tawau

TAWAU: Seramai 266 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia diusir pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Tawau, di sini, hari ini.

Program pengusiran diselaraskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah itu adalah siri ke-26 melalui laut, tahun ini, membabitkan PATI Indonesia dan Filipina.

Pengarah MKN Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof, berkata program pengusiran bermula jam 9 pagi tadi membabitkan PATI dari Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau dan PTS Sandakan, dengan turut dibantu Jabatan Imigresen Sabah, Jabatan Kesihatan Sabah, Polis Diraja Malaysia serta agensi lain.

Secara keseluruhan pada tahun ini, katanya, seramai 6,421 PATI telah diusir keluar dari Sabah, setakat ini, termasuk 221 diusir melalui udara membabitkan warga Pakistan, China, Vietnam, Hong Kong dan Korea Selatan.

Beliau berkata, selain mengatasi kebanjiran PATI di PTS, pengusiran juga dilaksana bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

“Kewujudan Kluster Benteng yang berpunca daripada penahanan PATI cuba menceroboh masuk ke Sabah, harus menjadi pengajaran serta gambaran jelas kepada semua pihak bahawa kemasukan PATI tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Sitti Saleha berkata, semua tahanan itu sudah menjalani ujian saringan COVID-19, manakala mereka yang didapati sakit akan menjalani rawatan sewajarnya terlebih dahulu dan dipastikan berada dalam keadaan ‘fit to travel’ sebelum diusir.

Beliau berkata, pihaknya turut mendapat kerjasama Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu dan Konsulat Republik Indonesia Tawau bagi memastikan proses pengusiran berjalan lancar.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *