Seorang Lagi Timbalan Menteri Dakwa Veveonah ‘Hanya Berdrama’

Timbalan Menteri Kewangan yang juga ahli Parlimen Kudat, Rahim Bakri mendakwa tindakan Veveonah Mosibin memanjat pokok untuk mendapatkan liputan internat hanya untuk menarik perhatian dan publisiti.

KOTA KINABALU: Selepas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin mendakwa isu dibangkitkan pelajar Veveonah Mosibin dalam YouTube adalah palsu, seorang lagi timbalan menteri turut mendakwa perkara sama.

Kali ini, timbalan menteri kewangan yang juga ahli Parlimen Kudat, Rahim Bakri berkata, pelajar itu sebenarnya sengaja “membuat drama” dan hanya mahu mendapat perhatian serta publisiti.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Rahim berkata, perjalanan cerita yang dibuat Veveonah dalam video yang disiarkan dalam Youtube adalah tidak betul dan tidak berasas.

“Saya telah meminta pegawai saya, Ambang Sobul yang berasal dari Kampung Bilangau Kecil yang bersebelahan dengan Kampung Sepatalang di Pitas.

“Hasil siasatan yang dilakukan, beliau membuat laporan kepada saya bahawa ibu bapa pelajar ini sudah terlalu tidak tinggal di Sepatalang kerana bapanya bekerja di KPD (Koperasi Pembangunan Desa) di pekan Pitas.

“Sebenarnya dia tidak ada rumah di Kampung Sepatalang. Macam mana pelajar ini boleh mendakwa dia belajar di atas pokok di kampung itu sedangkan dia sebenarnya tinggal di pekan,” katanya.

Rahim berkata, beliau juga menghubungi dekan fakulti dan pensyarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sama ada peperiksaan secara online diadakan atau tidak.

Katanya, hasil komunikasi beliau dengan pihak UMS mendapati belum ada peperiksaan akhir diadakan secara online.

“Hanya satu kuliah biasa yang diadakan secara online, sebenarnya setakat ini. Belum ada peperiksaan akhir yang diadakan secara online,” menurut UMS seperti dipaparkan di Facebook beliau.

Rahim juga berkata, mungkin ada motif tertentu di sebalik penerbitan video yang dimuat naik dalam Youtube dan ditonton di seluruh dunia itu.

“Setelah kita mengguna 4G, liputan internet menjadi semakin luas, lebih baik berbanding beberapa tahun lalu yang menggunakan ‘wireless village’.

“Tapi ini tidak bererti tiada ‘blind spot’, terutama di kawasan berbukit, hatta di KL (Kuala Lumpur) pun ada masalah, terutama tempat terlindung atau kemudahan yang menjadi mangsa vandalisme.

“Apa perlu pelajar itu membahayakan diri memanjat pokok dan dimasukkan dalam video, sedangkan dia ada pilihan hanya berusaha sedikit ke pekan Pitas, sama ada menumpang di sekolah atau tempat awam yang mempunyai liputan internet yang baik.

“Bagaimanapun saya tidak menyalahkan Veveonah sebagai anak muda yang belum berpengalaman, kelemahan dan kesilapan pasti berlaku dalam hidup,” katanya.

Baru-baru ini Zahidi dilaporkan berkata, Veveonah membuat rakaman itu hanya untuk hiburan dan menambah pengikut YouTubenya.

Beliau berkata, hasil siasatan kementeriannya mendapati gadis itu tidak menduduki peperiksaan ketika video tular itu dirakam.

Beliau kemudiannya mengaku mendapat maklumat tidak tepat ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Negara dan meminta maaf kepada Veveonah.

Pada awal Jun, Veveonah yang merupakan pelajar di UMS merakamkan video beliau membuat persiapan bagi menghadapi peperiksaan universiti.

Video tersebut tular dalam kalangan rakyat Malaysia dan juga di luar negara.

Video itu merakamkan kekecewaannya susulan pondok yang dirikan di atas bukit bagi mendapatkan liputan internet lebih baik musnah ditimpa hujan lebat dan angina kencang.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

4943