Ketua Negeri Ada Budi Bicara Mutlak Bubar DUN, Peguam Beritahu Mahkamah Rayuan

Peguam Negeri Sabah Brenndon Keith Soo berkata, Juhar Mahiruddin (kiri) tidak bertindak sewenang-wenang, tetapi berdasarkan nasihat Ketua Menteri Shafie Apdal. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu dan gabenor mempunyai kuasa budi bicara mutlak untuk membubarkan badan perundangan masing-masing, seorang peguam memberitahu Mahkamah Rayuan hari ini.

Cyrus Das, yang mewakili ketua menteri sementara Shafie Apdal dan kerajaan negeri Sabah berkata, kuasa budi bicara ini tidak boleh dicabar di mahkamah “walau apapun hal keadaannya”.

Peguam itu berkata, semua perlembagaan negeri digubal mengikut perlembagaan persekutuan, sebagai undang-undang tertinggi di negara ini.

Bahawa Perkara 10(2)(b) perlembagaan Sabah adalah menyerupai Perkara 40(2) perlembagaan persekutuan.

Cyrus Das.

“Tidak berlaku dalam sejarah budi bicara Agong untuk membubarkan Parlimen dicabar di mahkamah kerana ia tidak boleh diadili (iaitu tertakluk kepada cabaran undang-undang),” katanya dalam penghujahan di hadapan panel 3 hakim yang dipengerusikan oleh Abdul karim Abdul Jalil.

Dua hakim lain ialah Abu Bakar Jais dan Supang Lian.

Perkara 40(2) menyebut Agong mempunyai budi bicara mutlak, antaranya dalam pelantikan perdana menteri dan tidak memberi persetujuan terhadap permohonan untuk membubarkan Parlimen.

Bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman dan 32 bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 21 Ogos yang menolak permohonan semakan kehakiman mereka susulan persetujuan gabenor negeri Juhar Mahiruddin untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Das berkata, perayu mempersoalkan kuasa buid bicara gabenor untuk membubarkan DUN dengan mencabar perisytiharan pembubaran itu pada 30 Julai.

Terdahulu Peguam Negeri Sabah Brenndon Keith Soo, yang mewakili Juhar berkata, kuasa untuk membubarkan DUN terletak di tangan gabenor.

“Perkara 21(2) perlembagaan negeri membenarkan gabenor untuk menangguh (prorog) atau membubarkan DUN.”

Soo berkata, Juhar tidak membubarkan DUN secara sewenang-wenang, tetapi melakukannya atas nasihat ketua menteri.

“Budi bicara gabenor tidak boleh dipersoal di mahkamah undang-undang kerana beliau mengikuti peruntukan dalam perlembagaan.”

Beliau berkata, pembubaran itu, seperti diminta oleh Shafie, dibenarkan bagi mengembalikan mandat kepada rakyat Sabah.

“Ini bagi membolehkan proses demokrasi untuk pengundi memilih kerajaan mereka sendiri,” katanya dengan menambah bahawa pembubaran itu dibenarkan bagi menghindari ketidakstabilan politik yang timbul susulan insiden pada Julai.

Peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, yang mewakili Musa dan 32 yang lain berkata, Shafie tidak mempunyai hak untuk menasihati atau meminta gabenor membubarkan DUN kerana beliau tidak lagi menikmati sokongan majoriti 65 Adun (yang dipilih dan dilantik).

Ini kerana Musa mengemukakan akuan berkanun 33 Adun kepada Istana bagi menubuhkan kerajaan baru.

Pada 21 Ogos, pesuruhjaya kehakiman Leonard David Shim di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengetepikan permohonan semakan kehakiman Musa atas sebab tindakan gabenor tidak boleh diadili di mahkamah.

Beliau berkata, terdapat duluan pada 1986 yang menyaksikan gabenor pada ketika itu Adnan Robert membenarkan pembubaran DUN dalam tempoh setahun selepas pilihan raya negeri sebelum itu berikutan permohonan daripada ketua menteri pada masa itu Joseph Pairin Kitingan.

Das akan meneruskan penghujahannya esok. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *