COVID-19: Keadaan Di Lahad Datu Terkawal, Semua Kes Dalam Tahanan

LAHAD DATU: Polis akan memperketatkan Ops Benteng sekitar sempadan daerah ini bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati).

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata demikian susulan peningkatan mendadak jumlah pesakit Covid-19 kluster Benteng LD, hari ini.

NASRI MANSOR

“Selain penguatkuasaan di sempadan perairan dan darat, kami juga akan menguatkuasakan larangan yang terdapat dalam prosedur operasi standart (SOP) dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Dalam masa sama, perbincangan akan dilakukan menerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Lahad Datu dan Pesuruhjaya Polis Sabah (Datuk Hazani Ghazali) bagi mengambil tindakan yang dirasakan perlu dalam berdepan kluster Covid-19 di sini,” katanya ketika dihubungi Borneo Today, di sini, hari ini.

Tambah Nasri, setakat ini, keadaan di Lahad Datu terkawal dan pesakit hanya membabitkan tahanan lokap.

“Tiada orang awam terlibat, manakala pegawai, anggota dan ahli keluarga polis masih dikuarantin.

“Berdasarkan rekod, seramai 42 kes Covid-19 dilaporkan membabitkan 36 tahanan lokap IPD Lahad Datu dan enam orang lagi pesakit bawah siasatan (PUI) di Hospital Lahad Datu,” katanya.

Daripada jumlah itu, 40 daripadanya lelaki dan dua wanita berusia antara 16 hingga 58 tahun, termasuk 16 warga tempatan (tahanan lokap).- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *