Satu Maut Kemalangan Lima Kenderaan Di Jalan Tawau-Kunak

TAWAU: Seorang lelaki maut selepas terbabit dalam nahas jalan raya membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah lori treler di Kilometer 65, Jalan Tawau-Kunak, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, mangsa, Mohd Hamzah Baddu, 49, maut di lokasi kejadian dipercayai akibat kecederaan parah selepas tersepit pada kenderaan Proton Gen 2 yang dipandunya.

Gambar ehsan JBPM

Terdahulu, mangsa dalam perjalanan dari Tawau ke Kunak bersama empat kenderaan lain masing-masing dipandu tiga lelaki dan seorang wanita.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah kenderaan Proton Wira di hadapan kenderaan mangsa, dikatakan cuba mengelak seekor anjing menyebabkan kenderaan itu memasuki laluan bertentangan dan merempuh sebuah lori treler dari arah bertentangan.

Akibat rempuhan itu, lori itu terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh kenderaan dipandu Mohd Hamzah dan menyeretnya beberapa meter.

Keadaan itu menyebabkan Mohd Hamzah tersepit di tempat duduk pemandu sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan.

Gambar ehsan JBPM

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas ketika dihubungi, mengesahkan kejadian tersebut.

“Selain tiga kenderaan terbabit, kemalangan itu turut membabitkan dua kenderaan lain jenis Perodua Myvi dan sebuah lagi Proton Wira masing-masing dipandu seorang wanita dan lelaki.

“Kemalangan itu menyebabkan pemandu Gen 2 maut dan pemandu Wira yang cuba mengelak seekor anjing itu patah pada buku lali kaki kiri, manakala tiga yang lain tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Gambar ehsan JBPM

Menurut Peter, kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu Proton Wira yang mendakwa cuba mengelak anjing sebelum kemalangan itu berlaku.

“Mangsa yang tersepit kemudian berjaya dikeluarkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak sebelum mayatnya dihantar ke hospital untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *