Agihan Kerusi PRN Sabah Selesai 95%, Kata Zahid

Ahmad Zahid Hamidi berucap pada pelancaran jentera pilihan raya BN Sabah untuk PRN di Kota Kinabalu, hari ini.

KOTA KINABALU: Pengagihan kerusi antara Barisan Nasional dan parti dalam Perikatan Nasional untuk Pilihan Raya Negeri Sabah kini 95% selesai, kata Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu mendahului Bung (Moktar Radin) kerana dia mempunyai kuasa penuh untuk mengumumkan jumlah kerusi dan nama calon yang akan bertanding,” katanya merujuk ketua Umno Sabah.

Beliau berkata, calon berkelayakan yang tidak terpilih untuk bertanding pada PRN Sabah masih berpeluang mewakili BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

“Memang kita ada banyak calon berkelayakan, tapi jumlah kerusi tidak banyak kerana kita juga perlu mengagihkannya dengan rakan (parti) kita yang lain.

“Bagaimanapun jangan risau, kalau tidak dapat bertanding pada pilihan raya (negeri) nanti, kita masih ada PRU15, kalau tidak dapat jadi Adun, insya Allah kita akan usahakan untuk mereka ahli Parlimen nanti,” katanya ketika berucap melancarkan jentera pilihan raya BN Sabah hari ini.

Sebanyak 73 kerusi dipertandingkan pada PRN Sabah yang dijadualkan pada 26 Sept ini dengan hari penamaan calon pada 12 Sept dan pengundian awal pada 22 Sept.

Zahid berkata, PRN kali ini ialah peluang BN menebus maruahnya ekoran kekalahan pada PRU14 lalu.

“Kita mahu tebus maruah kekalahan pada PRU lalu, maruah tidak boleh dibeli dengan wang, walaupun wang adalah segala-galanya, namun segala-galanya tidak boleh dibeli oleh wang.”

Ditanya sama ada bekas bendahari agung Umno, Salleh Said Keruak diterima menyertai BN semula, Zahid berkata, perkara itu terletak di bawah bidang kuasa Bung selaku ketua Umno Sabah.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

411