543 Penduduk Kota Marudu Terima Geran Tanah

Shafie (tiga kiri) menyampaikan geran tanah kepada Ronny Gumbidik (kanan) pada majlis itu.

KOTA MARUDU: Seramai 543 penduduk dari 63 kampung di daerah ini menerima geran tanah individu anak negeri pemberian kerajaan negeri yang membabitkan tanah seluas 2,611.25 ekar.

Daripada jumlah itu, seramai 96 penduduk dari Kampung Sonsogon Magandai menerima geran tanah hasil pemansuhan geran komunal seluas 838.59 ekar.

Bagi geran tanah hasil pengukuran tanah lot pendudukan anak negeri (Program Pantas), seramai 235 penduduk dari tiga kampung menerima geran membabitkan keluasan tanah 635.523 ekar.

Sejumlah 212 penduduk dari 59 kampung lagi menerima geran hasil kelulusan permohonan tanah biasa bersyarat dengan keluasan 1,137.134 ekar.

Kesemua geran tanah berkenaan disampaikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal pada majlis Penyerahan Geran Tanah dan Input Pertanian Daerah Kota Marudu di sini.

Terdahulu dalam ucapannya, Shafie berkata, selagi Parti Warisan Sabah (WARISAN) memerintah negeri ini, kerajaan negeri akan terus memberikan hak tanah kepada rakyat walaupun selepas pilihan raya negeri (PRN) ini.

Menurutnya, usaha kerajaan negeri untuk mengembalikan hak tanah kepada rakyat dimulakan sejak 2019 lagi dan pihaknya berjanji akan memastikan tindakan itu diteruskan selagi WARISAN memerintah.

Beliau mengingatkan agar rakyat terus memanfaatkan pemberian tanah berkenaan dengan membangunkan tanah masing-masing dengan hasil pertanian.

Pada masa sama  katanya, dasar kerajaan itu juga membantu lebih ramai golongan belia untuk menjana pendapatan terutama graduan lepasan universiti yang belum mendapat pekerjaan.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *