WARISAN Kunak Nafi 75 Cawangan Keluar Parti

KOTA KINABALU: Penyandang Kerusi DUN Kunak, Norazlinah Arif menafikan dakwaan 75 cawangan Parti Warisan Sabah (Warisan) Kunak keluar parti bagi menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Norazlinah, yang juga Ketua Wanita Warisan Lahad Datu berkata, kenyataan yang dibuat oleh bekas Ketua Cawangan Kampung Sungai Langgas 2, Hussein Ibnu Hassan itu tidak berasas.

Katanya, semua 75 ketua cawangan yang didakwa menyertai BERSATU masih lagi bersama Warisan.

“Ini memang modus operandinya. Semasa beliau mula-mula mahu menjadi calon Warisan dulu pun, dia mendakwa ada 117 cawangan menyokongnya. Tapi bila disemak, kebanyakan 117 cawangan itu tidak wujud.

“Jadi kita tahu ini memang caranya untuk meraih sokongan bagi melayakkan dia menjadi calon,” katanya ketika dihubungi Borneo Today, hari ini.

Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat ini berkata, sokongan rakyat di Kunak terhadap Warisan masih lagi kukuh.

Menurutnya, jika dilihat dari segi kehadiran orang ramai dalam program-program anjuran Warisan juga masih lagi ramai.

Semalam, satu perjumpaan bersama ketua-ketua cawangan Warisan Kunak telah diadakan dan 33 daripada 75 cawangan yang didakwa keluar itu hadir menyatakan kesetiaan mereka terhadap kepimpinan Warisan.

Pada 31 Ogos lalu, Hussien mendakwa beliau mengetuai 75 cawangan Warisan keluar daripada parti bagi menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1080