Warga India, Indonesia & Filipina Disekat Masuk Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memutuskan menyekat kemasukan pemegang pas jangka masa panjang bagi warga India, Indonesia dan Filipina ke Sabah sama ada melalui udara, air dan darat yang akan berkuat kuasa mulai 7 September ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, ini sejajar dengan keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan pada 1 September lalu.

Katanya, pas jangka masa panjang bagi warga negara India, Indonesia dan Filipina yang tidak dibenarkan masuk tertakluk kepada beberapa kategori.

“Antaranya ialah Pemastautin Tetap (PR), pas Program Malaysia My Second Home (MM2H), semua ekspatriat, pas residen, pas suami, isteri atau anak kepada warga negara, pas pelajar dan pas lawatan kerja sementara.

“Kerajaan negeri juga memutuskan tidak membenarkan warga negara asing lain yang bermastautin atau mempunyai pas lawatan jangka panjang di India, Indonesia dan Filipina masuk ke Sabah.

“Walau bagaimanapun, pengecualian sekatan bagi warga India, Indonesia dan Filipina hanya diberikan kepada kategori anak kapal yang masuk bagi menjalankan aktiviti ‘sign-on’ atau ‘joint ship’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shafie turut mengingatkan agar rakyat Sabah sentiasa mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3888