UMNO Sabah Akan Bertanding 30 Kerusi Pada PRN?

Hari penamaan calon dan mengundi bagi PRN Sabah ditetapkan pada 12 Sept serta 26 Sept.

KOTA KINABALU: Umno Sabah akan bertanding 30 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Negeri 26 Sept ini.

Satu senarai ahli Majlis Tertinggi Umno yang ditugaskan untuk mengiringi calon mereka ke pusat penamaan calon pada 12 Sept ini nampaknya menunjukkan kerusi mana yang akan ditandingi parti itu.

Enggan mengesahkan jika senarai itu menunjukkan kerusi mana yang akan ditandingi Umno, pegawai parti itu berkata, ia adalah amalan untuk pemimpin menemani calon mereka ke pusat penamaan calon.

Berdasarkan senarai itu, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi antara pemimpin tertinggi Umno yang akan berada di Sabah pada hari penamaan calon. Beliau dijadualkan menemani calon kerusi baru Lamag.

Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin dijangka dicalonkan untuk kerusi itu yang terletak di bawah kerusi Parlimen Kinabatangan yang disandangnya ketika ini.

Selain Lamag, kerusi DUN lain di Parlimen Kinabatangan yang dijangka ditandingi Umno ialah Kuamut dan Sukau.

Parti itu turut dijangka bertanding di Banggi, Bengkoka dan Pitas di bawah Parlimen Kudat, Tempasuk serta Usukan (Parlimen Kota Belud) dan Pantai Dalit (Tuaran).

Di Parlimen Sepanggar, Umno dijangka bertanding di kerusi DUN Darau dan Karambunai.

Parti itu juga mungkin bertanding di kerusi berikut: Tanjung Keramat dan Tanjung Aru (Putatan), Pantai Manis (Papar), Bongawan (Kimanis), Lumadan dan Sindumin (Sipitang), Kemabong (Tenom), Telupid dan Sugut (Beluran), Gum Gum, Sungai Manila dan Sungai Sibuga (Libaran), Sekong (Batu Sapi), Tungku dan Kunak (Lahad Datu), Sulabyan (Semporna), Balung (Tawau) serta kerusi baru Kukusan dan Tanjung Batu (Kalabakan).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Umno memenangi 17 daripada 33 kerusi yang ditandinginya, di mana 8 daripada wakil rakyat itu melompat ke Warisan dan Upko serta 8 lagi ke PPBM.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

992