Dua Artis Tempatan Bakal Bertanding PRN Sabah

Janrywine  (kiri) dan Jimmy. FOTO Janrywine J Lusin dan ihsan pembaca

KOTA KINABALU: Sekurang-kurangnya dua artis tempatan Sabah bakal menguji ‘populariti’ masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.

Seorang pernah popular di seluruh negara dengan lagu berirama Kadazandusun, ‘Anak Kampung’, manakala seorang lagi popular dengan lagu rancak ‘Macam Di KK.’

Penyanyi Anak Kampung, Jimmy Palikat, memilih bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan, manakala penyanyi Macam Di KK, Janrywine J Lusin dicalonkan Parti Liberal Demokratik (LDP) di Kawang.

Ketika dihubungi, Jimmy, 42, berkata, beliau mahu beralih bidang sebagai ahli politik untuk menyumbang sesuatu yang lebih besar kepada masyarakat, khususnya di Tambunan.

“Saya mahu menawarkan diri selaku orang muda untuk membangunkan Tambunan ke tahap yang lebih baik berbanding sekarang kerana apa yang ada di Tambunan ketika ini tidak banyak beza 10 tahun atau 20 tahun lalu,” katanya.

Kerusi Tambunan disandang Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan selepas merampas daripada abangnya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (PBS-BN) pada pilihan raya umum (PRU) 2018.

Sementara itu, Janrywine membuat keputusan menerima tawaran LDP untuk menjadi calon sebagai landasan untuk memperjuang nasib golongan artis tempatan Sabah.

Katanya, artis atau orang seni di Sabah berdepan pelbagai kekangan dan cabaran untuk meneruskan kehidupan menerusi bidang seni terutama dalam situasi pandemik Covid-19 sekarang.

Janrywine, 42, yang juga Presiden Pertubuhan Orang Seni Tempatan Sabah (POSTS) berkata, idea untuk membela nasib artis Sabah menerusi perjuangan politik timbul selepas merasai kesukaran terpaksa berjuang sendiri dalam industri hiburan.

“Saya mahu menjadi suara kepada golongan artis di DUN untuk membela nasib mereka dan saya akan mencadangkan agar satu kementerian khusus diwujudkan untuk bidang seni jika menang dalam PRN nanti.

“Selama ini, golongan artis seperti saya tidak dipedulikan, malah kami dikekang dengan pelbagai kerenah birokrasi apabila memohon lesen yang berkaitan dengan aktiviti hiburan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya beliau tetap tidak melupakan tanggungjawab membela nasib rakyat di Kawang jika diberi kemenangan untuk menjadi wakil mereka di DUN.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

6448