BN, PN Umum Calon PRN Sabah Selasa Ini

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa (tengah) beramah mesra bersama warga Perbadanan Labuan (PL) selepas melancarkan konsep ‘Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin’ sempena Sesi Townhall bersama Warga PL di Labuan, hari ini. – Foto BERNAMA


LABUAN: Pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan sekutu mereka untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hampir 95 peratus siap dan akan diumumkan, Selasa ini.

Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa, berkata BN, PN dan sekutu mereka mencapai konsensus mengenai peruntukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan penggunaan logo parti bagi pilihan raya itu.

“Sebagai pembangkang di Sabah, kami dalam BN dan PN bersetuju bekerjasama untuk pertandingan satu lawan satu dengan Parti Warisan Sabah (WARISAN) bagi memberi rakyat alternatif untuk Sabah yang lebih baik,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Ketua Koordinator BN bagi PRN Sabah berkata, pembangkang akan memastikan calonnya tidak bersaing antara satu sama lain dan ahli parti akan menyokong wakil yang dicalonkan.

PN di Sabah merangkumi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah dan Parti Maju Sabah (SAPP) manakala BN mempunyai UMNO Sabah, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai sekutunya.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, berkata setiap parti politik terutama daripada PN dibenarkan menggunakan logo parti masing-masing pada PRN kecuali parti komponen BN yang akan menggunakan logo BN.

“Terpulang kepada parti politik masing-masing menggunakan logo parti kerana sentimen pengundian berbeza mengikut kawasan.

“Mereka perlu melakukan penilaian sendiri. Bagi kami, parti komponen BN akan menggunakan lambang dacing dan membenarkan parti lain yang menjadi rakan BN bertanding di bawah BN.

“Tetapi kami difahamkan PN yang baru didaftarkan mempunyai logo sendiri dan ia digunakan oleh BERSATU dan satu atau dua parti yang menjadikan rakan PN.

“Kami bersetuju dengan itu tetapi apa yang penting, kami berkongsi satu manifesto dan akan saling menyokong,” katanya.

Mengenai ura-ura wujud tiga puak (Tan Sri Musa Aman, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan) dalam UMNO Sabah, Annuar berkata ia adalah senario biasa bagi pemimpin dalam parti politik untuk mempunyai pandangan berbeza.

“Perbezaan telah ditangani, tidak seharusnya ada masalah lagi. Kini, fokus kami adalah rundingan dengan parti politik lain supaya penagihan kerusi adalah adil.

“Apabila bekerjasama sebagai satu pasukan, perlu ada tolak-ansur. Walaupun begitu, kita sudah lebih kurang mempunyai garis panduan dari segi jumlah kerusi bagi BN, BERSATU, PBS dan PBRS dan ini semua harus siap dalam beberapa hari lagi.

“BN dan rakan-rakan PN yang kami namakan sebagai Barisan Pembangkang Bersatu bersemangat untuk menghadapi pilihan raya ini,” katanya.

Annuar berkata, Sabah adalah negeri yang unik ketika berdepan dengan pilihan raya kerana parti politik perlu memahami nadi rakyat dengan masalah kemiskinan masih menjadi isu di negeri itu.

Sebanyak 73 kerusi DUN Sabah akan dipertandingkan pada PRN Sabah yang dijadual pada 26 September dengan hari penamaan calon pada 12 September manakala hari mengundi awal, 22 September. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *