Jangan Pecah Belahkan Masyarakat, Shafie Tegur Pemimpin PAS Isu Injil

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal berkata pemimpin politik tidak boleh hanya bergantung kepada landasan politik semata-mata kerana tindakan itu boleh menghancurkan perpaduan kaum dalam negara.

PETALING JAYA: Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal mengkritik tindakan pemimpin PAS yang mengeluarkan kenyataan di Dewan Rakyat mendakwa kitab Injil digunakan masyarakat Kristian di negara ini sudah terpesong.

Shafie berkata, pemimpin politik terutama PAS diingatkan supaya tidak mengeluarkan kenyataan melampau sehingga boleh memecah-belahkan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Kenyataan tersebut menimbulkan kemarahan masyarakat Kristian termasuk pemimpin gereja seluruh negara yang mendesak beliau memohon maaf.

“Kenyataan yang melampau tidak seharusnya dikeluarkan kerana tidak mendatangkan kebaikan kepada masa depan generasi masa depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 26 Ogos lalu, ketika perbahasan Rang Undang-Undang untuk mengusulkan denda lebih berat kepada pesalah yang memandu bawah pengaruh alkohol, ahli Parlimen Pasir Putih Nik Muhammad Zawawi Salleh mendakwa kitab Injil sudah dipesongkan atau diubah.

Malah Majlis Gereja Sarawak turut mengkritik kenyataan Zawawi berhubung kitab Injil di Dewan Rakyat baru-baru ini serta mendesak beliau menarik balik kenyataan itu dan meminta maaf.

Shafie berkata, pemimpin politik tidak boleh hanya bergantung kepada landasan politik semata-mata kerana tindakan itu boleh menghancurkan perpaduan kaum dalam negara.

“Kita perlu bersatu dalam membina negara dan bangsa. Jangan ada keterlaluan dan kesempitan. Jangan disebabkan ingin berkuasa dan inginkan sesuatu, kita ketepikan keharmonian yang ada pada hari ini.

“Kita perlu pelihara perpaduan hari ini demi kepentingan generasi akan datang. Sekiranya kita tunjukkan contoh yang buruk, itu akan mendatangkan bahaya kepada kita.

“Seandainya kaum dan agama menjadi pegangan tanpa batasan tanpa memikirkan kepentingan nyawa manusia, pembunuhan pasti akan berlaku kerana wujud ektremisme dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Katanya, jika rakyat tidak belajar situasi di Amerika Syarikat dan Timur Tengah yang mempunyai amalan perkauman tebal serta ektremisme agama, maka perpaduan dan kemakmuran tidak akan dapat dikecapi.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3830