(VIDEO) Tiga Terperangkap Akibat Kepala Air Di Sungai Kadamaian, Kota Belud

Tiga pengunjung tempatan terperangkap di atas batu di tengah sungai sebelum diselamatkam pasukan bomba di Kampung Malangkap, Kota Belud. – Gambar Facebook

KOTA BELUD: Tiga lelaki termasuk dua beranak terperangkap hampir dua jam di atas batu di tengah Sungai Kadamaian, Kampung Malangkap, Kota Belud akibat kepala air petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, ketiga-tiga lelaki tempatan berusia 11 tahun hingga 38 tahun terbabit bernasib baik selepas berjaya diselamatkan anggota bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.40 petang dan seramai 10 anggota bergegas ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba, paras Sungai Kadamaian didapati meningkat mendadak susulan hujan lebat di hulu sungai terbabit.

“Difahamkan ketiga-tiga mangsa sedang mandi ketika kejadian sebelum berlaku fenomena kepala air.

“Mangsa yang menyedari air naik mendadak sempat memanjat batu di tengah sungai tetapi terperangkap kerana tidak dapat kembali ke tebing apabila arus sungai bertukar deras,” katanya.

Menurutnya, anggota bomba menggunakan tali dan menyeberangi sungai untuk menyelamatkan mangsa.

“Operasi menyelamat mengambil masa selama sejam manakala salah seorang mangsa berusia 11 tahun dihantar ke Hospital Kota Belud akibat hipertermia,” katanya.

Muhammad Syazwan berkata, operasi ditamatkan jam 4.50 petang.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

7682