TFC Belasah Sabah

Pemain TFC, Dominique Dal Sylva (dua kiri) cubaan menjaringkan gol sambil dihalang oleh penjaga Sabah, Wan Muhamad Azraie pada aksi Liga Super. Gambar Ghazali Kori

Terengganu FC (TFC) meneruskan rentak kemenangan dengan menundukkan Sabah 4-0 pada aksi kelima Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Terengganu malam ini.

Kemenangan pertama di laman sendiri itu sekali gus meletakkan skuad bimbingan Nafuzi Zain di kedudukan kedua liga dengan mengutip 10 mata iaitu ketinggalan tiga mata dengan pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Skuad Penyu yang masih lagi segar selepas menumpaskan Petaling Jaya (PJ City) 2-0 di laman lawan Sabtu lalu, dilihat mendominasi permainan sejak wisel permulaan ditiupkan pengadil, Mohd Amirul Izwan Yaacob.

Hasilnya pada minit ke-12, TFC di depan menerusi jaringan tonggak import dari Mauritania, Dominique da Sylva.

Jaringan ketujuh penyerang itu berpunca daripada hantaran silang dari sebelah kanan pintu gol oleh pemain muda meningkat naik, Muhammad Syafik Ismail yang mencari Faiz Nasir, namun sepakan pemain itu berjaya diselamatkan penjaga gol, Wan Muhammad Azraie Wan Teh sebelum bola muntah dan peluang itu bijak dimanfaatkan da Sylva untuk menyumbat gol pertama perlawanan.

TFC menambah gol kedua minit ke-43 menerusi pemain dari Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov yang menerima umpanan kapten pasukan, Lee Tuck.

Sepanjang babak pertama, skuad Tambadau yang dibimbing jurulatih kelahiran Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto tidak banyak mengasak selain tiada ancaman yang mencemaskan kubu tuan rumah.

Skuad Penyu memperoleh gol ketiga oleh Sanjar pada minit ke-70 sebelum pemain gantian kelahiran Singapura, Muhammad Faris Ramli melengkapkan pesta gol tuan rumah.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

990