Rempuh Dinding & Terjun Keluar Dari Rumah Elak Ditahan

Antara suspek yang ditahan dalam operasi yang dilaksanakan pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Seramai 46 individu ditahan polis selepas terbabit dalam penyalahgunaan dadah dalam beberapa siri serbuan sepanjang minggu lalu.

Dalam operasi bermula 22 Ogos lalu itu, polis turut merampas sebanyak 10.07 gram dadah jenis syabu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi dilaksanakan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Katanya, sepanjang tempoh kajian sehingga semalam, seramai 46 individu termasuk seorang lelaki yang memiliki syabu ditahan dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dalam serbuan itu, seorang lelaki berusia 29 tahun yang juga penganggur ditahan di sebuah rumah di Kampung Padas pada Jumaat lalu dan ketika tangkapan dibuat, suspek bertindak agresif sebaik menyedari kehadiran polis.

“Suspek yang bersembunyi dalam sebuah bilik bertindak merempuh dinding kayu bilik dan terjun keluar dari rumah untuk melarikan diri namun berjaya ditangkap.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek positif dadah dan turut ditemui satu paket dadah seberat 5.22 gram di atas katil dan suspek ditahan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Katanya lagi, tangkapan selebihnya membabitkan kesalahan memiliki dadah dibawah Seksyen 12 12(2) dan Seksyen 15(1) (a) akta yang sama.

“Semua individu yang ditahan berusia antara 15 hingga 52 tahun membabitkan 34 warga tempatan dan selebihnya warga asing.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah adalah sebanyak 10.07 gram yang dianggarkan bernilai RM1,007 mengikut harga dadah semasa,” katanya.

Menurut Habibi, usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di sekitar Kota Kinabalu sentiasa diperhebatkan dari semasa ke semasa.

“Bagi mempertingkatkan usaha ini, masyarakat setempat juga diminta memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis sama ada terus ke talian Hotline IPD Kota Kinabalu di 088-529 220 atau akaun rasmi Facebook Polis Daerah Kota Kinabalu,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1263