PM Lawat Sabah Esok

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual melakukan lawatan rasmi dua hari ke Sabah bermula esok.

Ia lawatan sulung beliau ke negeri ini selepas dilantik sebagai Perdana Menteri di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) akhir Februari lalu.

Beliau dijadual menghadiri tujuh program, masing-masing enam di ibu negeri dan satu di Sandakan.

Program pertama beliau ialah mendengar taklimat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah di Alam Mesra, Kota Kinabalu, pada 11.15 pagi, esok.

Taklimat tertutup itu dijangka disampaikan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Hajiji Noor.

Selesai program berkenaan, Muhyiddin dijadual menghadiri program Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Persekutuan negeri di Pusat Persidangan Antarabangsa Sabah (SICC), Tanjung Lipat pada 12 tengah hari.

Pada sebelah petang, beliau turut dijadual menghadiri perhimpunan bersama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), pada 3.30 petang.

Muhyiddin turut dijadual menghadiri Majlis Sepetang Bersama Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri di SICC pada 5.15 petang.

Program Perdana Menteri esok diakhiri dengan Majlis Perjumpaan YAB Perdana Menteri bersama Pimpinan Masyarakat Negeri Sabah di Sipadan Hall II dan III, Aras 4, SICC pada 7.45 malam.

Pada Ahad, Muhyiddin dijadual menghadiri program Perjumpaan YAB Perdana Menteri Bersama Warga Penjawat Awam di Dewan Angsana, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sabah pada jam 10.30 pagi.

Beliau kemudian dijadual berlepas ke Sandakan untuk menghadiri program Perjumpaan Pimpinan Masyarakat bersama YAB Perdana Menteri di Dewan Hakka, Sandakan pada 1.30 tengah hari.

Sempena lawatannya, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dijangka membuat beberapa pengumuman mengenai persediaan gabungan itu menghadapi PRN Sabah, bulan depan, termasuk berkaitan PN Sabah.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

5947