Pas Sedia Guna Lambang BN Di PRN Sabah

MARANG: Pas terbuka dan bersedia menggunakan lambang parti Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah pada 26 September ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti berkenaan tiada masalah untuk berbuat demikian.

Menurut Abdul Hadi, Pas juga terbuka dengan sebarang keputusan yang dicapai oleh rakan sekutu dalam Perikatan Nasional (PN).

“Itu terpulang kepada keputusan yang dibuat kalau keputusan simbol (kata putus) masing-masing semua (parti politik) kerana saya difahamkan ada parti di Sabah nak buat simbol sendiri, terpulang (pada mereka), kita tiada masalah.. terbuka nak pakai simbol Perikatan Nasional pun boleh, sudah ada cadangan,” katanya kepada wartawan selepas menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, di sini pada Jumaat.

Ditanya kemungkinan simbol baharu juga akan digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak, Ahli Parlimen Marang itu berkata, cadangan itu akan diperhalusi dan dinilai kewajarannya.

Menurut Abdul Hadi, penggunaan lambang lain tidak memberikan sebarang masalah kerana Pas pernah berbuat demikian pada 1974, ketika parti itu masih berada dalam BN.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan BN yang akan menggunakan lambang parti itu kerana pengundi sudah terbiasa dengannya, sebagai mana yang diumumkan Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa.

Menteri Wilayah Persekutuan itu yang juga Ketua Koordinator BN bagi PRN Sabah sebelum ini berkata, Biro Politik dan Dewan Tertinggi BN yang bermesyuarat sudah memaklumkan kepada parti-parti rakan komponen PN bahawa calon BN akan menggunakan lambang dacing. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *