Ibu Bapa Kandung Kanak-Kanak Perempuan Diminta Tampil

Kanak-kanak perempuan berumur 6 tahun kini dalam jagaan sementara.

KOTA KINABALU: Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Am Bahagian Kudat sedang mengesan ibu bapa kandung kepada seorang kanak-kanak perempuan berumur 6 tahun untuk urusan penjagaan.

Pelindung Zubaidah Asik berkata, kanak-kanak terbabit kini dalam jagaan penama Jumakil Norbasar, 41, dari Kg. Korina Sikuati, Kudat dan isteri Mariam @ Marry Lamnah.

Menurutnya, kes berkenaan dirujuk kepada pihaknya oleh penama sendiri.

“Hasil siasatan awal ke atas penjaga, saya berpendapat bahawa ketika ini penama layak dan sesuai untuk menjadi penjaga sementara kepada kanak-kanak yang dirujuk memandangkan kanak-kanak telah dijaga dan dipelihara sejak diserah dan diterima daripada ibu kandung kanak-kanak berkenaan.

“Namun begitu, melihat kepada laporan polis dan akuan bersumpah oleh penama, saya berpendapat bahawa kedua ibu bapa kanak-kanak yang dirujuk perlu dikesan untuk membantu dalam penyediaan laporan pelindung,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Zubaidah berkata, pada 13 Jun 2014 penama didatangi oleh pasangan suami isteri yang tidak dikenali menyerahkan bayi perempuan kepadanya dalam lingkungan umur 7 hari.

Penama memaklumkan pasangan suami isteri itu menyatakan bahawa hanya menitipkan bayi perempuan berkenaan sementara waktu sahaja sebelum bertolak ke Kota Kinabalu untuk menjual ikan masin.

Bayi yang diserahkan kepada penama tidak mempunyai sebarang dokumen dan kini berumur 6 tahun mengikut tarikh kanak-kanak itu diserahkan kepada penama.

Penama yang sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak angkat itu berhasrat untuk mengambil dan membela kanak-kanak berkenaan sebagai anaknya.

Zubaidah berkata, beliau mengesyorkan kanak-kanak itu layak dibawah jagaan penama untuk menjamin keselamatan kanak-kanak berkenaan, dibawah orang yang layak dan sesuai, mengikut permohonan perintah jagaan sementara dibawah Subseksyen 19(2) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa kandung kanak-kanak terbabit tampil bagi membantu urusan penjagaan.

Sebarang maklumat lanjut boleh berhubung dengan Zubaidah di pejabatnya di Bangunan Urusetia Daerah Kudat melalui talian 088-611798.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *