RM15 Juta Dibelanjakan Dalam Bantuan One-Off Yayasan Sabah

KOTA KINABALU: Sebanyak RM15 juta sudah dibelanjakan menerusi pemberian bantuan One-Off Yayasan Sabah kepada pelajar di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, bantuan itu adalah untuk membantu pelajar meneruskan pengajian mereka di institut pengajian tinggi masing-masing.

“Sejak kita ambil alih tampuk pemerintahan dan pengurusan Yayasan Sabah, tahun lalu saja sudah sebanyak RM10 juta dan tahun ini RM5 juta. Jadi keseluruhannya RM15 juta dan hari ini seramai lebih 100 penerima menerima bantuan One-Off ini.

“Bantuan ini turut diberikan kepada pelajar di seluruh daerah supaya dapat ringankan beban mereka dalam mengharungi pendidikan untuk diri mereka,” katanya dalam sidang media selepas menyempurkan Majlis Penyampaian Bantuan One-Off Yayasan Sabah, di Menara Tun Mustapha, hari ini.

Tambah beliau lagi, langkah itu perlu dilakukan supaya pelajar ini nanti dapat menawarkan semula perkhidmatan mereka selepas mendapat pekerjaan nanti.

“Langkah ini perlu direalisasikan untuk bantu membantu rakyat kita, kerana kita sedar dan tahu mereka mempunyai ilmu pengetahuan dan pendidikan, maka sedikit sebanyak mereka boleh tawarkan perkhidmatan untuk mendapatkan peluang pekerjaan di sektor yang selaras dengan ilmu mereka perolehi.

“Sekarang ini, Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah bekerjasama rapat dengan Yayasan Sabah dalam usaha kita membolehkan pelajar ini terus mendapat bantuan saban tahun,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria berkata, pihak Yayasan Sabah akan terus meningkatkan usaha kerajaan dalam menyediakan tajaan pendidikan kepada pelajar di negeri ini.

“Bantuan One-Off ini adalah cetusan idea Ketua Menteri sendiri dan skim ini dilancarkan pada 21 September 2018 dengan pemberian khas kepada pelajar yang baharu memulakan pengajian tahun pertama mereka di institusi pengajian tinggi.

“Bantuan Pendidikan One-Off diberikan dalam jumlah RM1,000 seorang untuk anak Sabah yang mengikuti pengajian di negeri ini, manakala RM2,000 seorang anak Sabah yang mengikuti pengajian di Sarawak atau Semenanjung berdasarkan kriteria yang ditetapkan,” katanya.

Sehubungan itu, Jamalul berkata, sejak 2018 hingga kini, seramai 10,838 pelajar Sabah menerima bantuan ini dengan jumlah perbelanjaan RM15 juta.

“Di samping bantuan One-Off ini, Kumpulan Yayasan Sabah juga meneruskan usaha dalam menyediakan tajaan biasiswa dan dermasiswa di peringkat sekolah menengah dan pinjaman di peringkat pengajian tinggi,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

4287