Musa Aman Peroleh Kebenaran Teruskan Rayuan Cabar Pelantikan Shafie Apdal Sebagai Ketua Menteri

PUTRAJAYA, 26 Ogos: Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan bagi meneruskan rayuannya untuk mencabar kesahihan pelantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, dengan majoriti 2-1, membenarkan permohonan Musa dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tamparuli Datuk Jahid@Noordin Jahim untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Musa dan Jahid mengemukakan permohonan itu selepas Mahkamah Rayuan pada 28 Nov tahun lepas menolak rayuan mereka berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman pemula bagi mencabar pelantikan Mohd Shafie pada 7 Nov 2018.

Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Zabariah Mohd Yusof, yang turut bersidang, membuat keputusan memihak kepada Musa manakala Mohd Zawawi menentang.

Abdul Rahman membenarkan permohonan itu dengan 10 isu perundangan untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam rayuan tersebut.

Dalam penghakimannya, beliau berkata mahkamah berpendapat rakyat Sabah mempunyai hak untuk mengetahui sama ada penyingkiran Musa telah dilakukan secara sah dan mengikut Perlembagaan Sabah.

Mohd Zawawi, dalam penghakimannya pula berkata beliau menolak permohonan itu kerana sudah tidak wujud ‘isu hidup’ dalam kes tersebut. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *