Pembangkang Terus Buat Kacau, Ganggu Kelancaran Pentadbiran Sabah – Mohd Azis

Mohd Azis menegaskan, tempoh dua tahun di bawah pentadbiran Mohd Shafie tidak boleh dijadikan kayu pengukur kemajuan dan pembangunan di Sabah. – Astro AWANI

TAWAU: Tindakan pemimpin pembangkang yang menganggu gugat pentadbiran kerajaan Warisan termasuk isu-isu mahkamah dilihat satu penghalang kepada kelancaran usaha membangunkan negeri ini.

Ketua Wira Warisan Datuk Mohd Azis Jamman mendakwa, perkara itu sudah pasti merencatkan pembangunan negeri, sekali gus memberi kesan kepada rakyat Sabah.

Justeru, katanya, tindakan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 30 Julai lalu adalah tepat dalam memberikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan terbaik bagi mengemudi negeri ini.

“Walaupun kerajaan kita di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memimpin negeri ini dalam tempoh dua tahun sahaja, namun beberapa hak rakyat Sabah telah dapat kita kembalikan.

“Bagaimanapun, usaha itu terbantut apabila terdapat gangguan daripada pembangkang yang akhirnya merugikan rakyat,” katanya.

Mohd Azis berkata demikian ketika ketika menghadiri program pemimpin bersama rakyat di Taman Kinabutan Ria, di sini, malam tadi.

Tambahnya, tindakan pemimpin pembangkang membandingkan pencapaian kerajaan Warisan yang baru berusia dua tahun disifatkan tidak berasas dan hanya bertujuan mahu mengelirukan rakyat.

Sebaliknya, tegas Mohd Azis, tempoh dua tahun itu tidak boleh dijadikan kayu pengukur kemajuan dan pembangunan di negeri ini.

“Warisan dua tahun memerintah dan patut diberi peluang. Tidak boleh ia membandingkan pentadbiran parti ini hingga meletakkan Sabah sebagai negeri termiskin di Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Azis yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri menyeru rakyat Sabah bijak membuat pilihan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 26 September ini. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2353