Pemain gitar profesional, Eddy Wan Othman meninggal dunia tengah malam tadi dipercayai terkena renjatan elektrik.
Berita sedih ini dimaklumkan oleh abangnya, Wan Razmie Wan Othman menerusi Facebook.
“Dukacita dimaklumkan bahawa kedua Adinda saya, Wan Zunira (kiri) dan Eddy Wan Othman (kanan) sudah berpindah alam menghadap Ilahi malam tadi.
“Kedua jenazah mereka kini di Forensik Selayang dan anak bongsu kepada adinda saya Allahyarhamah Wan Zunira kini di ICU selayang kerana terbabit sama,” tulisnya.
Wan Razmie berkata, kejadian berlaku ketika adiknya (Wan Zunira) memandikan anaknya.
“Perginya seorang ibu ketika sedang menyempurnakan tugasan terakhir beliau memandikan anaknya.
“Perginya seorang adik (Eddy) kerana berusaha menyelamatkan kakak dan anak buah yang sedang dalam renjatan elektrik.
“Semoga keduamu pergi sebagai syahid dan syuhada. Berehatlah kedua adikku. Tugasan kalian di dunia dah berakhir. Semoga Allah menerima kebaikan kamu berdua,” tulisnya.
Sepanjang kariernya, Eddy atau lebih dikenali sebagai Eddy Malmsteen kerap mengiringi persembahan artis-artis popular antaranya Datuk Hattan, Joey BPR dan ramai lagi.
Berita kematiannya mengejutkan ramai penggiat seni antaranya Datuk Hattan, To’ki, Joey BPR, Along Exists, Uchop Ahmad dan ramai lagi yang bertindak memuat naik ucapan takziah di dinding laman sosial Facebook masing-masing.
Jenazah Eddy dan kakaknya dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak, hari ini. – HMetro
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost