Tak Mengapa, Kata Bung Berhubung Bantahan Atas Lantikan Ketuai Jentera BN Sabah

Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin ceria pada sidang media di ibu pejabat parti itu di Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin berkata, beliau tidak mengambil hati atas bantahan pemimpin parti itu terhadap pelantikannya sebagai ketua jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan.

“Tak mengapa,” kata ahli Parlimen Kinabatangan itu, yang terkenal dengan telatah lucu di Dewan Rakyat, kepada pemberita di bangunan Umno Sabah di sini, hari ini.

“Kita harus terus melangkah ke depan,” katanya.

“Kita hormati kepelbagaian pandangan dan pendapat, tak mengapa,” katanya.

Terdahulu minggu ini, ahli Majlis Tertinggi Umno Abdul Rahman Dahlan mengetuai 12 ketua bahagian parti itu di Sabah membantah pelantikan Bung dengan berkata, ia tidak dibincangkan dan berlawanan dengan autonomi penuh yang diberikan kepada negeri itu tahun lepas.

Kumpulan itu berkata, mereka tidak mahu pemimpin yang terpaksa turun naik mahkamah bagi menghadapi pertuduhan rasuah mengetuai kempen gabungan itu dalam pilihan raya yang dijadualkan 26 September depan.

Berikutan itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebagai pengerusi BN Sabah adalah munasabah Bung mengetuai kempen gabungan tersebut.

Zahid berkata, walaupun berbeza pandangan, semua parti komponen BN perlu bersatu bagi memastikan gabungan itu mencapai kemenangan.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

5409