PGA Tawau Rampas 33 Botol Air Ketum Dikirim Guna Bas

KALABAKAN: Sebanyak 33 botol berisi air ketum dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kilometer 146, Jalan Kalabakan-Sepulut, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, polis turut merampas dua kilogram daun ketum belum diproses di dalam sebuah van pengangkutan awam yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau Superintenden Mohd Yacob Murad berkata, terdahulu, pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas van berkenaan yang turut dinaiki tiga penumpang lain.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan, anggota bertugas berjaya menemui tiga kotak berisi air dan daun ketum belum diproses dalam van berkenaan.

“Siasatan awal yang dilakukan, van penumpang berkenaan dalam perjalanan dari arah Keningau menuju ke Tawau,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Difahamkan pemandu van berkenaan mendakwa hanya sebagai pemandu dan barang tersebut dikirim menggunakan kenderaan tersebut ke Tawau.

Manakala tiga individu lain masing-masing terdiri dari warga tempatan, Indonesia dan Pakistan berusia antara 29 hingga 56 tahun mengaku sebagai penumpang sahaja.

Menurut Mohd Yacob, pihaknya merampas semua barang berkenaan termasuk van dianggarkan bernilai RM107,050.

“Semua tangkapan dan rampasan dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *