‘Keputusan Mahkamah Daulatkan Undang-Undang’

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak permohonan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata keputusan itu adalah selari dengan peruntukan Perlembagaan negeri dan kepentingan melindungi institusi Tuan Yang Terutama (TYT).

Katanya, hak Yang di-Pertua Negeri membubarkan DUN termaktub dalam Perlembagaan negeri dan tidak sepatutnya dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

“Alhamdulillah, kita bersyukur dengan usaha yang dilakukan dan kita menghargai keputusan itu berlandaskan dua perkara iaitu dari sudut undang-undang atau enakmen Sabah dan kedua, melindungi institusi TYT.

“Hak membubarkan DUN bukan terletak pada mana-mana pihak, ia adalah kuasa mutlak TYT. Kita boleh cadang, minta tetapi beliau yang luluskan.

“Justeru, saya amat menghargai keputusan dibuat pihak kehakiman dalam mendaulatkan undang-undang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pagi tadi, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak permohonan semakan kehakiman berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dikemukakan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Pesuruhjaya Kehakiman, Leonard David Shim membuat keputusan terbabit sejurus selesai prosiding pendengaran hujah hari ini.

Isu itu difailkan ke mahkamah pada 7 Ogos lalu oleh Tengku Fuad Ahmad, peguam kepada bekas Ketua Menteri Sabah yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, Tan Sri Musa Aman, bersama 32 ADUN yang lain.

Pada 29 Julai lalu, semua 33 ADUN berkenaan mendakwa mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baharu.

Sehubungan itu, semua 33 ADUN terbabit meminta Juhar mengadakan majlis angkat sumpah kerajaan baharu, sekali gus menumbangkan kerajaan negeri pimpinan Mohd Shafie.

Bagaimanapun, Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna dan penyandang kerusi DUN Senallang, mendahului langkah Musa apabila menasihati Juhar supaya membubarkan DUN yang ketika itu mempunyai 65 ahli iaitu 60 dipilih dan lima dilantik.

Musa bersama 32 ADUN lain dalam permohonan itu, mahu mendapatkan kebenaran semakan kehakiman dan meminta perintah mahkamah untuk membatalkan nasihat Mohd Shafie kepada Juhar supaya membubarkan DUN, membatalkan pengisytiharan pembubaran DUN dan warta pembubaran kerajaan negeri.

Juhar dinamakan sebagai responden pertama, Mohd Shafie sebagai responden kedua, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) responden ketiga manakala kerajaan Sabah, keempat.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *