Permohonan Hentikan PRN Sabah Ditarik Balik

KOTA KINABALU: Permohonan semakan kehakiman oleh 3 individu untuk menghentikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ditarik balik hari ini.

Awal bulan ini peguam Marcel Jude dan 2 ahli perniagaan memfailkan permohonan untuk menghentikan PRN berikutan pandemik Covid-19.

Mereka sebelum ini mahu membatalkan persetujuan diberikan Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), namun kini menarik balik sebagai responden pertama di Mahkamah Tinggi.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah hari ini membatalkan permohonan untuk semakan kehakiman oleh 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah yang mencabar persetujuan Juhar membubarkan DUN.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka masih mempertahankan permohonan supaya pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan pilihan raya dalam tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Hakim Mahkamah Tinggi Ismail Brahim menetapkan 14 September depan untuk perbicaraan.

Dalam pemfailan mereka awal bulan ini, Jude dan ahli perniagaan Magret Binsing dan Tessa Romana memohon perintah untuk menghalang pengerusi SPR daripada mengadakan PRN melainkan peruntukan PKP ditarik balik.

Mereka juga mahu mahkamah mempertimbangkan injunksi Erinford terhadap Juhar dan pengerusi SPR sehingga rayuan bekas ketua menteri Sabah Musa Aman terhadap pemimpin negeri yang sah diselesaikan di Mahkamah Persekutuan.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman oleh kumpulan wakil rakyat terhadap Juhar atas alasan tindakan Yang di-Pertua tidak boleh diputuskan di mahkamah.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *