Perpecahan UMNO Sabah Boleh Akibatkan BN Kalah, Kata Penganalisis

Bung Moktar

KOTA KINABALU: Penganalisis politik menjangka perpecahan dalam Umno Sabah berpotensi menyebabkan Barisan Nasional (BN) tewas dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang, sekali gus mencalar kredibiliti presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Mereka berkata, bantahan 12 ketua bahagian Umno di negeri itu terhadap keputusan Zahid membenarkan pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin mengetuai jentera BN dalam PRN tersebut menggambarkan perpecahan yang parah dalam parti itu.

Abdul Rahman Dahlan

Ini menurut mereka lagi tidak membantu usaha pembangkang untuk merampas pentandbiran negeri daripada gabungan Warisan Plus.

Pada Selasa, ahli Majlis Tertinggi Umno Abdul Rahman Dahlan, yang bercakap bagi pihak 12 ketua bahagian Umno terbabit pada satu sidang media berkata, pelantikan Bung tidak dibincangkan sebelum ini, justeru bercanggah dengan keputusan Umno tahun lepas untuk memberikan autonomi kepada Umno negeri itu.

Rahman, yang merupakan ketua Umno Tuaran berkata, kumpulannya tidak mahu individu yang perlu turun naik mahkamah atas pertuduhan rasuah berkempen untuk BN.

Lee Kuok Tiung

Penganalisis, Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, kenyataan Rahman boleh dilihat sebagai isyarat bahawa Zahid tidak harus memimpin parti itu kerana beliau juga berdepan pertuduhan rasuah.

“Pesaing Umno akan mengambil kesempatan ini untuk memperlekeh parti itu,” katanya.

Beliau juga berkata, Zahid tidak harus mendedahkan kepimpinannya kepada risiko jika beliau berkeras dengan keputusan yang dibuatnya itu sehingga menyebabkan BN kalah dalam pilihan raya.

Romzi Atong, juga dari Universiti Malaysia Sabah bersetuju dengan berkata, kekalahan BN juga akan menyebabkan penyokong parti itu dan orang awam mempersoalkan kebijaksanaan Zahid.

Bercakap tentang sidang media pada Selasa itu Romzi berkata, tampak bahawa konflik sengit telah tercetus antara 12 pemimpin bahagian itu dengan presiden parti.

“Ini jelas tidak baik untuk Umno kerana ia akan menyebabkan pengundi bersikap skeptikal terhadap pemimpinnya, baik di peringkat negeri dan juga pusat,” katanya.

“Wujud perebutan kuasa yang sengit, dan ditambah dengan isu seperti nepotisme akan menyebabkan pengundi melihat Umno sebagai parti yang tidak berubah.”

Beliau berkata, pengundi yang sepatutnya mengundi BN mungkin akan memilih parti lain, dan keadaan itu mungkin juga berlaku dalam pilihan raya umum akan datang.

Awang Azman Pawi

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, mungkin wujud permainan politik lebih besar daripada perbezaan pandangan dalam kalangan Umno Sabah semata-mata.

“Saya fikir ia merupakan langkah politik kelompok elit dalam percaturan kuasa negara ini,” katanya.

“Rahman hanyalah jurucakap dalam hal ini. Wujud permainan politik lebih lebar di sebalik persaingan ini.

“Perebutan kuasa ini akan memberi kesan ke atas akar umbi dan akan mencetuskan protes, sabotaj dan kerjasama yang rapuh. Ia akan memarakkan mentaliti puak. Ahli akar umbi akan mengikut arahan orang kuat kumpulan masing-masing.”

Katanya, peluang BN dalam PRN Sabah kelihatan malap.

Lee berkata, 12 pemimpin itu sepatutnya membuat bantahan terhadap pilihan Zahid secara dalaman, sekali gus menambah bahawa bantahan terbuka mereka akan menyebabkan orang ramai hilang hormat kepada Umno.

“Penyakit lama dalam Umno ialah sabotaj,” katanya. “Ini pernah menyebabkan BN tumbang, namun mereka tidak belajar daripadanya.”

Beliau juga berkata, kedudukan Bung dalam rundingan pembahagian kerusi dengan parti lain juga menjadi lemah susulan keadaan itu.

“Jika Bung tidak bersetuju dengan mereka, maka mereka mempunyai pilihan untuk berunding dengan kumpulan lain daripada Umno.”- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1492