Berdamailah Bung, Rahman, Ingat Pengalaman Manis Di Kimanis

Dalam tinjauan Suara TV ke Sabah minggu lalu, saya memuat naik sekeping gambar berlatar Gunung Kinabalu dan awan mendung yang berarak sekelilingnya.

Saya menulis inilah gambaran politik Sabah kerana telah mengetahui mengenai pergelutan dalam UMNO yang sedang berhadapan detik genting.

Sidang media yang tidak diperlukan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan semalam adalah kemuncak kepada ketidakpuasan hati dan pergelutan politik dalam UMNO Sabah.

Rahman berpendapat sudah tiba masanya penduduk Sabah diberi tahu pendirian sebenar beliau dan rakan-rakan mengenai kepimpinan UMNO Sabah.

Mempertahankan Rahman

Ramai yang mengkritik Rahman kerana membuat sidang media sedemikian ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semakin hampir. Bagi mereka Rahman perlu menggunakan saluran dalaman untuk berbincang dan berunding.

Untuk berlaku adil, Rahman telah menggunakan pelbagai saluran lain termasuk perjumpaan bersama Presiden UMNO dua minggu lalu di Kota Kinabalu. Jika sebelum ini ia hanya khabar-khabar angin, semalam Rahman sendiri meluahkan kekecewaan bahawa mesyuarat tersebut tidak memberi peluang kepada semua Ketua-Ketua UMNO Bahagian menyuarakan pandangan.

Sudah tentu sidang media semalam merupakan harakiri politik buat Rahman. Namun beliau mungkin merasakan ‘enough is enough’.

Sebaik selesai sidang media tersebut Rahman diserang dengan persepsi beliau alat Bersatu dan tidak menyumbang apa-apa kepada UMNO Sabah sepanjang 26 bulan lalu.

Serangan Rahman alat Bersatu ini sangat lemah dan berniat jahat kerana hanya bersandarkan beliau adalah “blue-eyed boy” Musa Aman.

Jika Rahman mahu mengkhianati UMNO beliau melakukan berbulan-bulan dulu lagi. Dalam pelbagai wawancara Rahman secara terbuka menyatakan UMNO perlu menjadi parti dominan. Dalam perjumpaan dengan penulis baru-baru ini juga Rahman mengutarakan perkara yang sama.

Serangan Rahman tidak berbuat apa-apa mempertahankan UMNO juga tidak benar. Rahman antara pemimpin UMNO Sabah yang sentiasa membuat kenyataan mengkritik pentadbiran Shafie Apdal dan Pakatan Harapan di peringkat Persekutuan. Boleh sahaja google dan baca pandangan-pandangan beliau.

Malahan kuasa autonomi UMNO Sabah yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung UMNO diutarakan oleh Rahman sebagai satu langkah memperkasakan UMNO Sabah dan meyakinkan penduduk negeri di bawah bayu ini bahawa UMNO bukan sekadar parti yang menerima arahan semenanjung.

Kesilapan Rahman

Rahman mempunyai banyak kriteria yang memenuhi calon Ketua Menteri yang boleh meyakinkan pengundi Sabah. Beliau mempunyai pendidikan tinggi, pengalaman dalam pengurusan ekonomi dan kerajaan tempatan di peringkat Persekutuan dan sebagai Setiausaha Politik Ketua Menteri.

Kesilapan terbesar Rahman ialah beliau tidak dapat keluar dari bayangan Musa Aman. Sebagai bekas Setiausaha Politik Musa, Rahman mungkin terhutang budi dan hati kepada Musa.

Namun dalam politik kenang jasa harus mempunyai had kerana masa Musa telah berlalu. Musa ada wang dan pengaruh namun ia tidak cukup untuk membantu Barisan Nasional merampas kembali Sabah. Musa sudah ‘overstayed’ sebagai Ketua Menteri.

Walaupun Musa mempunyai banyak jasa kepada pembangunan Sabah, beliau juga ada halangan-halangan lain yang membuatkan sebahagian rakyat berfikiran sudah tiba masanya Sabah mmepunyai Ketua Menteri lain dari Musa mahu pun Shafie.

Membawa Musa kembali tidak akan menjadikan BN lebih baik. Malahan ramai ahli UMNO belum lupa tindakan anaknya, Yamani Hafeez Musa, Ahli Parlimen Sipitang, menyertai Bersatu selepas UMNO hilang kuasa sehingga menjadikan Bung Mokhtar satu-satunya Ahli Parlimen BN dari Sabah.

Jika Rahman tidak terlalu taksub kepada Musa dan mengikut sahaja arus kepimpinan Bung Mokhtar, beliau mungkin antara calon berpotensi dipertimbangkan sebagai Ketua Menteri bagi Barisan Nasional.

Namun selagi beliau tidak keluar dari bayangan Musa, persepsi negatif terhadap musa akan turut terkait dengannya.

Karisma Bung Mokhtar

Bung Mokhtar Radin bukanlah tokoh yang mempunyai material untuk menjadi Ketua Menteri atau Menteri Kanan. Beliau pejuang lantang yang acap kali hilang kesabaran bila berbeza pendapat. Namun Bung adalah jenis setia kepada parti walau dilambung ombak tinggi.

Lebih penting Bung merupakan calon boleh menang. Bertanding Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, pengaruh Bung sangat besar dan berkemampuan menyekat pengaruh Warisan di Sandakan, Kinabatangan dan Tawau.

Justeru walaupun imej Bung mungkin tidak popular di kalangan majoriti pengundi Sabah, namun beliau akan menyumbang satu kerusi bagi BN jika bertanding.

Ketika Bung mengumumkan beliau akan bertanding di DUN Lamag, ia bukan kerana gila kuasa tetapi kerana ia merupakan kawasan kuat suku-sakat Shafie.

Ketika Bung tidak mahu menerima Musa sebagai calon Ketua Menteri bukanlah kerana beliau mahukan jawatan tersebut, namun kerana beliau tahu imej Musa yang menjadi punca berlakunya PRN ini tidak bagus kepada rakyat.

UMNO dan Barisan Nasional tidak mahu dilihat sebagai parti yang terbabit dalam krisis politik kali ini. Tindakan Musa cuba mengambil alih kuasa bukan dengan restu UMNO negeri mahu pun Persekutuan.

Berdamailah Jika Ikhlas

Kebimbangan kumpulan Rahman ialah apabila Bung bertanding beliau akan dilihat sebagai calon Ketua Menteri Sabah. Dan ini menyebabkan Barisan Nasional terpaksa berkempen dalam PRN dengan mempertahankan kes Bung.

Hujahan ini sangat rasional, namun ia boleh sahaja diselesaikan jika Bung mengumumkan beliau tidak akan menjadi Ketua Menteri Sabah selagi kesnya tidak selesai.

Jika pengumuman seperti ini dbuat, Bung akan dilihat sebagai seorang pemimpin berjiwa besar dan mementingkan parti berbanding diri. Dan UMNO Sabah boleh sahaja menetukan siapa Ketua Menteri baharu selepas menang PRN nanti.

Apa pun untuk menang UMNO dan BN Sabah memerlukan semua kumpulan bertolak ansur dan bersatu bagi membantu parti. Alangkah manisnya jika kumpulan Bung Mokhtar, Yaakub Khan dan Rahman Dahlan boleh bersatu membantu kemenangan UMNO seperti dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis dahulu.

Ingatlah ketika kita sama-sama susah, sama-sama mengeluarkan tenaga dan wang ringgit tanpa dokongan dan kelebihan jentera kerajaan dalam membantu kemenangan Datuk Mohamad Alamin. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat mengecap kemenangan ketika susah.

Berpelukanlah Bung Mokhtar dan Rahman sekali lagi. Rahman jika tidak bertanding di DUN pun pasti akan diberi kerusi Parlimen nanti jika membantu parti dengan sepenuh hati dalam PRN ini.

Jangan bakar jambatan hanya kerana ada bonggol di atasnya.- SUARATV

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

5780