Tempat Paling Panas Di Dunia

amaran menunjukkan amaran suhu panas di Taman Negara Death Valley di California, AS. Foto AFP Agensi

LAS VEGAS: Taman Negara Death Valley di California, Amerika Syarikat (AS) merekodkan suhu 54.4 darjah Celcius, pada Ahad, sekali gus menjadi tempat paling panas di dunia.

BBC melaporkan, ketika ini, Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS mengesahkan catatan berkenaan.

Perkembangan itu susulan gelombang cuaca panas yang melanda pantai barat negara itu dan suhu dijangka semakin meningkat minggu ini.

Malah, situasi itu menyebabkan gangguan bekalan elektrik di California apabila stesen jana kuasa mengalami masalah, Sabtu lalu.

“Ini adalah haba yang amat menyeksakan,” kata Brandi Stewart, seorang petugas di taman negara berkenaan kepada BBC.

Stewart sebelum ini, bekerja dan tinggal di taman negara itu dalam tempoh berkala untuk lima tahun.

Bagaimanapun, dia banyak menjalankan tugas di dalam bangunan sepanjang bulan ini.

“Apabila anda berjalan di luar, anda akan berasa seperti ada beberapa pengering rambut dihalakan ke muka anda.

“Anda akan berasa seperti berada di dalam ketuhar dan gelombang haba di seluruh badan anda,” katanya.

Sebelum ini, cuaca paling panas di dunia direkodkan di taman negara sama pada 2013 iaitu pada 54 darjah Celcius.

Dalam pada itu, pihak berkuasa meramalkan gelombang haba akan meliputi kawasan dari Arizona di barat daya, menghala ke arah pantai di Washington di barat laut negara itu.

Ia dijangka mencapai kemuncaknya pada Isnin dan Selasa sebelum suhu panas itu diramal menurun.

Bagaimanapun, gelombang haba ini dijangka berlarutan sehingga sekurang-kurangnya 10 hari lagi.

Situasi itu turut menyebabkan masalah kebakaran hutan di negara berkenaan.- Agensi

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1506