PRN Sabah: PKR Tidak Minat Guna Logo Parti Lain

KOTA KINABALU: PKR Sabah bukan sahaja tidak berminat mengguna logo parti lain dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadualkan 26 September ini, malah menyifatkan cadangan itu sebagai satu penghinaan kepada mereka.

Ketua Penerangannya, Simsudin Sidek, berkata dengan keahlian lebih 170,000 orang, kedua tertinggi selepas Selangor, cadangan itu dilihat menghina ahli dan penyokong akar umbi yang menghayati perjuangan parti.

“PKR berpendapat cadangan itu bersifat regresif dan tidak strategik serta mengundang malapetaka kepada kelangsungan hidup parti itu di Sabah.

“Parti ini sudah wujud lebih 20 tahun dan bukannya sebuah parti baharu yang ditubuhkan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Simsudin berkata logo sesebuah parti adalah penting kerana ia membawa makna perjuangan parti berkenaan.

Beliau berkata, logo juga membantu pengundi untuk mengenali parti yang mereka akan pilih dalam pilihan raya.

“Logo adalah simbol idealisme dan identiti sesebuah parti yang sangat penting kerana ia membawa makna cogan perjuangan yang membina hubungan kuat dengan pendukung perjuangan parti.

“Isu penggunaan logo parti sendiri atau Pakatan Harapan (PH) bukan didorong atas sifat ego tetapi berlandaskan prinsip dan perjuangan PKR yang lebih menyeluruh dan membabitkan rakyat dan Malaysia secara menyeluruh.

“Cadangan supaya PKR mengguna logo Parti Warisan Sabah (WARISAN) pada PRN ini boleh diumpamakan menyuruh UMNO mengguna logo BERSATU,” katanya.

Beliau mengulas cadangan Pengarah Komunikasi Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Khairuddin Daud supaya PH dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menggunakan logo WARISAN sebagai tanda kesatuan semua parti yang menyokong WARISAN di Sabah.

Simsudin turut mengambil contoh parti gabungan sah tetap menggunakan logo parti sendiri bagi memperlihatkan penyatuan.

“Sesuatu yang amat logik untuk kita lihat penggunaan logo parti gabungan yang sah seperti PH dan Barisan Nasional (BN) untuk menggambarkan semangat kesatuan dan kesepakatan politik yang sebenar, bukannya logo parti lain untuk justifikasi alasan yang sama.

“Kita harus sedar setiap agenda yang di rancang harus mendapat sokongan padu daripada Pusat untuk merealisasikan sebarang perancangan.

“Secara logiknya, perancangan itu akan menjadi lebih mudah bila ia dibuat oleh parti gabungan sah dan bukan hanya sekadar bertaraf sekutu yang mana pendirian mereka sering dilihat terumbang-ambing demi kepentingan dan kelangsungan politik,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1236