Osman Jamal Dakwa Pihak Peguam Besar Sabah Gagal Patuhi Peraturan

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balung Osman Jamal berkata tindakan pihak peguam besar negeri Sabah (SAG) pada hari itu sangat tidak beretika dan tidak memuaskan bagi seorang yang memegang jawatan peguam negeri.

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balung Osman Jamal hari ini, mempertikaikan beberapa tindakan pihak peguam besar negeri Sabah (SAG) yang didakwa gagal mematuhi arahan Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim ketika pendengaran semakan kehakiman oleh 33 wakil rakyat terhadap keputusan Yang di-Pertua Sabah Juhar Mahiruddin, membubarkan DUN pada Isnin.

Katanya, ketika pendengaran itu beliau melihat sendiri pihak SAG gagal mematuhi arahan dengan memfailkan 1 Ikatan Otoditi Tambahan dan kemudian membuat hujahan secara lisan tanpa sebarang hujahan bertulis untuk rujukan pihak peguam mewakili bekas ketua menteri, Musa Aman.

“Sebagai saksi kepada pendengaran semakan kehakiman Musa Aman di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak di Kota Kinabalu, saya berhasrat untuk menjawab segala kekeliruan hasil daripada pendengaran berkenaan yang berlangsung pada 17 Ogos.

“SAG telah memfailkan 1 ‘ringkasan eksekutif’ pada hari berkenaan tanpa memberikan salinan kepada peguam Musa dan tindakan ini jelas menunjukkan pihak SAG tidak mematuhi syarat diberikan oleh Yang Arif (Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Osman berkata, berdasarkan arahan diberikan Leonard pada hari berkenaan, pihak SAG serta Peguam Negara harus memfailkan hujahan bertulis mereka pada 10 Ogos dan peguam mewakili Musa pula perlu memfailkan hujahan mereka pada 12 Ogos.

“Yang Arif seterusnya menetapkan 17 Ogos (semalam) untuk pendengaran klarifikasi, yang mana segala persoalan perundangan haruslah dijawab bagi memudahkan Yang Arif untuk membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata, tingkah laku pihak SAG ketika pendengaran itu juga amat tidak teratur, malah ada beberapa dokumen penting hanya diserahkan kepada pihak peguam dan mahkamah ketika pendengaran berlangsung.

Katanya, pihak SAG juga gagal mematuhi prosedur sedia ada dengan melantik Chung Jiun Dau sebagai peguam tambahan tanpa menggunakan surat pelantikan fiat.

“Lebih membimbangkan, Chung Jiun Dau telah mengingkari arahan Yang Arif untuk menumpukan hujahan kepada isu ‘justiciability’ sahaja apabila beliau berhujah mengenai isu yang tidak berkaitan langsung dengan isu ‘justiciability’ yang mana saya percaya salah 1 daripada isu yang disebut adalah isu ‘Locus Standi’.

“Pada pandangan saya, tindakan SAG pada hari itu sangat tidak beretika dan tidak memuaskan bagi seorang yang memegang jawatan peguam negeri.

“Atas sebab-sebab yang dinyatakan tadi, Yang Arif telah mengarahkan peguam Musa menfailkan hujahan balasan bagi menjawab isu yang dikemukakan selewat-lewatnya pada 19 Ogos dan Yang Arif juga telah menetapkan 21 Ogos untuk keputusan.

“Saya percaya, sekiranya pihak SAG serta peguam tambahannya jujur dan telus dalam melaksanakan tanggungjawab mereka serta akur dengan arahan yang diberikan oleh Yang Arif, kes ini sepatutnya sudah selesai semalam,” katanya.

Sebelum ini, Musa bersama 32 wakil rakyat lain mempersoalkan permohonan bertulis ketua menteri, Shafie Apdal kepada Juhar pada 29 Julai memohon DUN dibubarkan.

Pembubaran itu membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menetapkan 26 Ogos sebagai tarikh pengundian manakala tarikh bagi penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 Ogos depan.

Mereka menamakan Juhar sebagai responden pertama, manakala Shafie, SPR, dan kerajaan negeri masing-masing responden ke-2, ke-3, dan ke-4.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *