Kerajaan Sabah Tidak Berdiam Berkaitan Tuntutan Filipina

Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak pernah berdiam diri terhadap tuntutan Filipina ke atas negeri ini malah hingga ke Sepanyol untuk menentang tuntutan berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata kerajaan Sabah membantah tindakan itu menerusi undang-undang kerana Sabah bukan milik Filipina.

Katanya, kerajaan Sabah turut menghantar Peguam Besar Sabah (ketika itu Datuk Zaleha Rose Pandin) ke mahkamah di Sepanyol kerana mereka menuntut di sana.

“Kita  membantah dan kita tidak berdiam diri kerana Sabah bukan milik Filipina. Tapi soalannya…apa Anifah (Datuk Seri Anifah Aman) buat ketika dia Menteri Luar. Sepatutnya ketika menjadi Menteri Luar, dia bawa agenda ini dengan rakan sejawatnya di Filipina.

“Dia bagaimanapun hanya berdiam…mereka tidak buat apa-apa tetapi bukan main dia menyalahkan saya sedangkan saya bukan Menteri Luar. Dia yang ada hak membawa isu ini kepada rakan sejawatnya. Janganlah tuduh saya.

“Sabah bukan milik Filipina dan kita lawan hingga bawa ke mahkamah. Sebenarnya isu ini hanyalah proganda mereka sahaja, saya tahu itu tapi saya juga percaya orang Sabah bukan bodoh,” katanya kepada media di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Anifah yang mendakwa kenapa kerajaan Sabah berdiam diri dengan tuntutan Filipina baru-baru ini.

Mohd Shafie berkata , beliau sendiri menyatakan kepada duta Filipina yang bertemu dengannya tahun lalu di Sabah, bahawa Sabah bukan milik mereka kerana negeri ini sudah merdeka dan diiiktirat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Kita tidak berdiam diri, kita lawan termasuk di Mahkamah…cuma mereka (Filipina) tidak jadikan ini (tuntutan) sebagai isu agenda politik mereka.

“Ini bukan keutamaan (membalas kenyataan Anifah) saya,  kerana sekarang saya berdepan dengan pilihan raya. Sebab itu bagi saya ini adalah propaganda mereka,” katanya.

Pada 27 Julai lalu, Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr mendakwa Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia pada ketika Sabah dalam keadaan ‘kalut’ dengan isu kehangatan pertukaran kerajaan negeri.

Kenyataan Locsin di laman Twitternya itu sebagai reaksi terhadap kedutaan Amerika Syarikat di Filipina sekali gus turut mengundang reaksi negatif daripada rakyat Malaysia.

Sebagai rekod, Sabah, Sarawak, Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura membentuk Malaysia pada tahun 1963 di bawah perjanjian antarabangsa yang disebut Perjanjian Malaysia 1963.

Bagaimanapun kontroversi pemimpin Filipina menuntut Sabah tidak pernah berakhir dan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte pada 2016 turut meluahkan niatnya meneruskan tuntutan ke atas Sabah.

Pada Februari 2019, Duta Filipina ke Malaysia, Charles Jose ketika kembali melawat Ketua Menteri ketika itu turut bertegas mengekalkan tuntutan Filipina terhadap Sabah.

Terdahulu, Mohd Shafie menerima kunjungan hormat daripada Pertubuhan Pekebun-Pekebun Kecil Sabah di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *