Isu Filipina Tuntut Sabah: Apa Anifah Buat Ketika Jadi Menteri Luar, Soal Shafie

Shafie Apdal (kiri) sebaliknya mendakwa Anifah Aman berdiam diri walaupun ketika menjadi menteri luar, beliau mempunyai hak untuk membangkitkan isu tuntutan Filipina ke atas Sabah kepada rakan sejawatannya di Manila.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal menafikan beliau berdiam diri berhubung isu tuntutan Filipina ke atas Sabah, sebaliknya mempersoalkan apa yang dilakukan Anifah Aman ketika menjadi menteri luar.

Beliau berkata, kerajaan negeri menerusi bekas peguam besar Sabah, Zaleha Rose Pandin dan bekas peguam negara membawa kes itu ke mahkamah di Sepanyol untuk membantah tuntutan Filipina.

”Kita sudah menyatakan pendirian bahawa Sabah bukan milik Filipina, kita bantah tuntutan itu, tanya kepada AG (peguam besar Sabah) sebelum ini Zaleha,” katanya selepas melancarkan skim pinjaman mikro serta industri kecil dan sederhana (IKS) di pejabat pentadbiran negeri hari ini.

Presiden Warisan itu berkata, Anifah ketika menjadi menteri luar sepatutnya menyuarakan pendirian Sabah berhubung isu itu kepada rakan sejawatannya di Filipina.

”Tapi dia (Anifah) berdiam diri dan menyalahkan saya pula, saya bukan menteri luar ketika itu, hanya dia yang ada hak membangkitkan isu ini dengan rakan sejawatnya (di Filipina).

”Saya juga telah membangkitkan perkara ini pada tahun lepas, masih ingatkah sewaktu duta Filipina datang ke Sabah, saya beritahu mereka jangan mempersoalkan, jangan bertanya tentang hak mereka untuk menuntut Sabah.

”Kita telah mendapat nasihat daripada Suruhanjaya Cobbold, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 1960, Sabah bukan milik mereka (Filipina) dan itu adalah kedudukan undang-undang…PBB yang memutuskan kemerdekaan Sabah, bukan Filipina, jangan dengar cakap mereka.”

Baru-baru ini, Anifah yang juga presiden Parti Cinta Sabah dilaporkan berkata, Shafie sebagai ketua menteri hanya berdiam diri berhubung tuntutan Filipina terhadap Sabah.

”Kamu tahu, kita ada banyak isu, tetapi Shafie jenis pemimpin lebih suka serahkan isu-isu besar, apatah lagi menyentuh kedaulatan negeri kepada pihak lain, tetapi masih ada hati untuk terus memimpin dan kononnya mahu perjuangkan nasib rakyat di sini.

”Tindak-tanduknya pula tidak mencerminkan kesungguhan beliau seperti di pentas-pentas politik. Takut sungguh untuk berhadapan dengan kuasa asing, lebih rela tunduk dan sekadar berharap kepada persekutuan untuk mempertahankan negeri ini? Adakah kita mahu Sabah dipimpin oleh pemimpin penakut? Biar yang lain cuba jajah kita.

”Apa yang Shafie takut sangat? Kedaulatan Sabah tidak boleh bergantung kepada pemimpin yang lemah dan tiada pengalaman seperti Shafie. Dalam 2 tahun ini, apakah sebenarnya pencapaian ketua menteri ini sehingga isu ini sendiri sembunyikan diri?” soalnya yang dipetik sebuah portal berita.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *